Sabtu, 20 Januari 2018 | 1:52pm
SEBAHAGIAN daripada peserta program KAK1M di Tapak Belon Udara Panas, Presint 2, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
SEBAHAGIAN 900 peserta menyertai KAK1M meneruskan kayuhan menaiki jambatan Tok Pasai dekat Kuala Kedah. - Foto Shahrizal Md Noor
SUBROMANIAM beramah mesra dengan peserta sebelum pelepasan program KAK1M di Tapak Belon Udara Panas, Presint 2, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KAK1M catat MBOR

PUTRAJAYA: Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia (KAK1M) secara serentak di seluruh negara mencatat penyertaan paling ramai, sekali gus mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Seramai 6,255 peserta menyertai kayuhan itu yang diadakan di 10 lokasi, iaitu Putrajaya dengan 1,987 peserta, Melaka (737), Kelantan (470), Terengganu (422), Pahang (573), Kedah (918), Johor (368), Perak (320), Pulau Pinang (305) dan Sarawak (155).

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh wakil MBOR, Nurasykin Ramli kepada Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam.

Program anjuran Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (PERKASA) dengan kerjasama JKDM dan Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) itu bersempena dengan Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-36.

Sementara itu, Subromaniam berkata, kayuhan amal itu adalah acara tahunan jabatan bagi memenuhi tanggungjawab sosial dengan mengumpul dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

"Tahun ini kita memilih Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) untuk menerima sumbangan RM100,000 hasil kutipan daripada yuran penyertaan peserta kayuhan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KAK1M di sini, hari ini.

Program KAK1M turut membuka peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi dengan JKDM, sekali gus menjadi pentas bagi masyarakat mengetahui peranan jabatan.

Pelbagai acara sampingan turut disediakan untuk peserta dan ahli keluarga masing-masing bagi memeriahkan program itu.

Berita Harian X