Selasa, 16 Januari 2018 | 8:54pm
DATUK Seri Liow Tiong Lai. - Foto Zain Ahmed
DATUK Seri Liow Tiong Lai. - Foto Zain Ahmed

Kementerian Pengangkutan akan buat kajian turun tol Linkedua

SINGAPURA: Kementerian Pengangkutan akan membuat kajian bagi menurunkan kadar tol Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) pada bukan waktu puncak dalam usaha menggalakkan penggunaannya.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata cadangan itu antara pendekatan jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor sementara menunggu projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang dimeterai dengan Singapura siap sepenuhnya.

Katanya, cadangan itu dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-8 dengan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong, hari ini dan turut dipersetujui bersama.

"Kita akan membuat kajian secepat mungkin dan akan melihat bilangan pengguna dan kesannya.

"Kajian ini pendek, tidak akan mengambil masa lama. Tahun ini juga akan akan laksanakan (kadar baru tol) kerana kita mahu mengatasi kesesakan di Tambak Johor," katanya pada sidang media Malaysia selepas Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kelapan.

Pada sesi itu dalam sidang media bersama, Najib berkata, Malaysia dan Singapura tidak menolak kemungkinan mengkaji semula kadar tol di Linkedua dua usaha menggalakkan penggunaannya oleh pengguna kedua-dua negara.

Selain itu, kedua-dua negara juga melihat untuk meningkatkan kekerapan perjalanan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) daripada 26 kepada 31 perjalanan sehari dalam usaha mengatasi kesesakan Tambak Johor.

Tiong Lai berkata, pihaknya tidak menolak untuk melaksanakan cadangan pengurangan kadar tol mulai pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun beliau tidak dapat menyatakan kadar bayaran tol yang akan dikenakan, namun memberi jaminan akan dapat menarik lebih ramai rakyat kedua-dua negara menggunakannya.

Mengenai RTS, beliau yakin apabila siap kelak perkhidmatan rel itu dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

"Sistem ini cukup canggih dan mampu membawa sehingga 10,000 orang setiap jam," katanya.

Berita Harian X