Selasa, 16 Januari 2018 | 10:33am
BANTUAN kelengkapan sekolah yang disediakan Yayasan Hasanah dapat meringankan beban keluarga kurang berkemampuan menyediakan keperluan anak mereka pada sesi persekolahan tahun ini.
BANTUAN kelengkapan sekolah yang disediakan Yayasan Hasanah dapat meringankan beban keluarga kurang berkemampuan menyediakan keperluan anak mereka pada sesi persekolahan tahun ini.

Yayasan Hasanah bantu 3,900 pelajar kurang mampu

KUALA LUMPUR: Seramai 3,900 pelajar kurang berkemampuan menerima bantuan kelengkapan sekolah bernilai RM800,000 menerusi program Kembali Ke Sekolah anjuran Yayasan Hasanah (Hasanah), yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Semua pelajar yang terpilih itu daripada golongan B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) dari tujuh negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Pengarah Urusan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari, berkata program Kembali Ke Sekolah ini bagi membantu meringankan beban keluarga yang perlu menyiapkan anak mereka untuk sesi persekolahan baharu tahun ini.

"Kami berharap usaha ini mampu mencetuskan impak positif untuk meningkatkan motivasi pelajar memulakan sesi persekolahan baharu dengan penuh bersemangat.

"Khazanah dan Hasanah giat menyokong pelbagai program berimpak sosial yang ditumpukan kepada golongan B40 di Malaysia dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) sejak tahun 2006," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahira berkata, secara kolektif, Khazanah dan Hasanah memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 pelajar dari 918 sekolah di seluruh Malaysia menerusi pelbagai program peningkatan pencapaian pendidikan.

Antara pencapaian utama program berimpak sosial Hasanah yang ditumpukan kepada golongan B40 di Malaysia termasuk Program Sekolah Amanah yang menjadi tunjang model transformasi sekolah awam Hasanah pada peringkat sekolah rendah dan menengah.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan LeapEd Services Sdn Bhd.

Sementara itu, Yayasan AMIR, sebuah rakan kerjasama Hasanah sejak tahun 2010 juga berjaya melaksanakan Program Sekolah Amanah yang memberi manfaat kepada 62,761 pelajar dan 4,571 guru di 83 sekolah dari 10 negeri di Malaysia.

Selain itu, Yayasan Khazanah yang ditubuhkan Khazanah pada 2006, menyediakan biasiswa bagi pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi terbaik di dalam dan luar negara bagi melahirkan bakal pemimpin negara.

Sejak tahun 2006, sejumlah 752 biasiswa diberikan kepada pelajar terbaik dari seluruh negara.

Menerusi program sekolah angkatnya PINTAR Foundation, memberi fokus memupuk kecemerlangan akademik dan bukan akademik khususnya bagi pelajar di komuniti terpinggir di seluruh negara serta bagi memperkasakan akses kepada pendidikan berkualiti bagi lebih 313,000 pelajar dari 539 sekolah di Malaysia sejak 2008.

Tidak ketinggalan, program khusus untuk masyarakat India dari golongan B40 merangkumi pelbagai aspek termasuk program transformasi holistik bagi belia berisiko yang kurang kecenderungan akademik menerusi Yayasan MySkills dan program Sekolah Tamil Integrasi Menyeluruh (CITS).

Ia berfungsi meningkatkan prestasi akademik pelajar di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bersama rakan kerjasama Child Information, Learning & Development Centre (CHILD) dan program English for Juniors (E4J) bersama Educational, Welfare & Research Foundation (EWRF).

Sejak tahun lalu, Hasanah berjaya membantu 1,340 pelajar India dari golongan B40 meningkatkan hasil pencapaian pendidikan mereka.

Program pendidikan lain termasuk pendidikan STEM, pendidikan alam sekitar dan pendidikan seni membabitkan 3,153 pelajar.

Ia dilakukan dengan kerjasama NGO seperti Association of Science, Technology & Innovation (ASTI), Treat Every Environment Special (TrEES), PINTAR Foundation-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun (PKKTB) dan NetCarbon.

Berita Harian X