Isnin, 15 Januari 2018 | 5:22pm
ISHAK Hamzah. - Foto Saifullizan Tamadi
ISHAK Hamzah. - Foto Saifullizan Tamadi

MABOPA mahu mekanisme baharu baucar buku

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memutuskan mekanisme pemberian baucar buku dengan segera seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018.

Presidennya, Ishak Hamzah, berkata pihaknya membuat desakan itu disebabkan terdapat ura-ura mekanisme pemberian baucar buku bernilai RM250 itu akan dikekalkan dalam bentuk kad debit atau dikenali juga sebagai Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M Debit-i).

Ishak berkata, jika mekanisme baucar buku dikekalkan dalam bentuk KADS1M Debit-i ia akan hanya mengulang kesilapan tahun lalu, sekali gus menyaksikan akan berlaku ketirisan.

"Pertama sekali jika benar KADS1M Debit-i dikekalkan, ia akan memungkiri pembentangan Bajet 2018.

"Kedua, ia akan menyebabkan berlakunya ketirisan dalam agihan itu kerana hanya sejumlah kecil saja daripada jumlah itu digunakan untuk membeli buku," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Baucar buku yang dikenali sebagai Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) diperkenalkan pada 2012 tetapi diganti dengan KADS1M Debit-i apabila berlaku ketirisan pada BB1M apabila pelajar menukar baucar berkenaan dengan wang tunai.

Bagaimanapun KADS1M Debit-i membolehkan pelajar bukan sekadar membeli buku atau gajet tetapi juga mengeluarkan tunai RM250 dari mesin ATM.

BH sebelum ini melaporkan ketirisan dalam BB1M boleh dielak dengan penambahbaikan mekanismenya termasuk menapis senarai penjual buku dan menggunakan kaedah penebusan e-wallet.

Ishak berkata, pada tahun 2017 apabila KADS1M Debit-i diperkenalkan hanya dua peratus saja dikembalikan kepada industri buku.

"Maklumat mengenai pengekalan KADS1M Debit-i ini kami peroleh dari sumber sahih dan khabarnya ia akan diumumkan dalam masa terdekat sehingga kami perlu berbuat sesuatu untuk memastikan industri buku kebangsaan diselamatkan.

"Kami sudah memohon untuk bertemu dengan menteri berkaitan tetapi belum ada maklum balas. Kami akan cuba lagi untuk menemui beliau, jika tiada tindak balas juga kami perlu bersuara mewakili industri buku dengan melakukan demonstrasi," katanya.

Berita Harian X