Ahad, 14 Januari 2018 | 5:13pm
PROF Datuk Dr Asma (kanan) melihat kerusi rawatan gigi animasi selepas merasmikan Klinik Pakar Pergigian di Pusat Trauma HUSM di Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin
KERUSI rawatan gigi animasi khas untuk mengelakkan fobia dalam kalangan kanak-kanak ketika menerima rawatan di Pusat Trauma HUSM di Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin

Tonton kartun di iPad sambil gigi dirawat

KOTA BHARU: Klinik Pergigian Pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mengambil inisiatif menggunakan peralatan termaju khususnya untuk rawatan gigi terhadap kanak-kanak.

Mula beroperasi di bangunan baharu sejak dua minggu lalu iaitu di Pusat Trauma HUSM, klinik pakar pergigian itu dilengkapi dua kerusi animasi kartun khas untuk mengelakkan fobia dalam kalangan kanak-kanak ketika menerima rawatan.

Dekan Pusat Pengajian Sains Pendidikan, Profesor Dr Adam Husein, berkata HUSM adalah klinik pakar kedua di negara ini yang dilengkapi teknologi terkini itu selain Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan dianggarkan kos satu unit kerusi rawatan terbabit adalah RM150,000.

"Dua kerusi khas itu diterima hasil daripada kerjasama pintar bersama rakan strategik dari Hospital Meichen Stomatological, Weihan, China khusus untuk keperluan rawatan kanak-kanak dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

"Kerusi ini direka dengan bentuk animasi dan turut disediakan adalah tayangan kartun menerusi iPad yang dipasang bagi menghilangkan gementar pesakit ketika mendapatkan rawatan," katanya ketika sidang media di sini hari ini.


KERUSI rawatan gigi animasi khas untuk mengelakkan fobia dalam kalangan kanak-kanak ketika menerima rawatan di Pusat Trauma HUSM di Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Klinik Pakar Pergigian terbabit yang dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Prof Dr Adam berkata, secara purata, HUSM menerima pesakit seramai 8,000 hingga 10,000 sebulan dengan khidmat dari 45 doktor pakar termasuk tujuh untuk kanak-kanak.

Katanya, dengan pembinaan klinik yang mencecah RM10 juta itu akan dapat memberi kemudahan terbaik kepada pesakit dan dijadikan rujukan kepada hospital lain.

"Kerjasama antarabangsa ini memberi banyak manfaat kepada kedua-dua pihak antaranya pendedahan di peringkat tinggi kepada pakar kita seterusnya satu pengiktirafan oleh negara luar kepada USM mengenai kepakaran yang dimiliki," katanya.

Berita Harian X