Khamis, 11 Januari 2018 | 12:33am

Hampir 5 juta pelajar mulakan sesi persekolahan 2018

KUALA LUMPUR: Seramai 4.65 juta pelajar sekolah rendah dan menengah mendaftar pada sesi persekolahan 2018 di 10,200 sekolah seluruh negara, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, daripada jumlah direkodkan hingga 8 Januari itu, 2.66 juta adalah murid sekolah rendah manakala 1.99 juta pelajar sekolah menengah, tidak termasuk pelajar Tingkatan Enam Rendah.

Justeru, beliau berkata, kerajaan komited melengkapkan kemudahan prasarana asas terutama di sekolah-sekolah daif dengan peruntukan RM2.5 bilion yang diumumkan menerusi Bajet 2018.

"Daripada jumlah itu, RM1 bilion diperuntukkan untuk pembaikan sekolah daif di Sarawak, RM1 bilion (Sabah) manakala RM500 juta (Semenanjung)," katanya pada program Dialog Temubual Khas Bersama Menteri Pendidikan yang disiarkan di saluran TV1, malam ini.

Dalam program satu jam itu, Mahdzir berkata, kerajaan menyasarkan penyertaan prasekolah dalam kalangan kanak-kanak berusia empat dan lima tahun ke atas meningkat, masing-masing kepada 80 dan 94 peratus tahun ini.

"Bilangan kelas prasekolah juga akan diperluas sebanyak 71 kelas. Keutamaan ini akan diberikan kepada kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas," katanya.

Mengenai kadar keciciran pelajar di sekolah menengah, Mahdzir berkata, satu Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah dan Modul Serlahkan Keunggulan Diri bagi membendung masalah keciciran pelajar di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan dilaksanakan mulai tahun ini.

"Peratusan keciciran murid di sekolah menengah menurun daripada 1.6 peratus (2016) kepada 1.36 peratus (2017). Kementerian akan meneruskan usaha mengurangkan kadar keciciran murid di semua peringkat sekolah terutamanya di sekolah menengah dengan sasaran penurunan kepada 1.3 peratus tahun ini," katanya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau berkata, Skuad Peningkatan Enrolmen Menengah (SEIIT) yang diterajui Pejabat Pendidikan Daerah dengan kerjasama penguat kuasa setempat dan komuniti juga diwujudkan bagi melaksanakan intervensi berfokus di daerah masing-masing. - BERNAMA

Berita Harian X