Khamis, 4 Januari 2018 | 3:51pm

1,303 sekolah laksana DLP minggu depan

PUTRAJAYA: Sejumlah 1,303 sekolah, termasuk 88 sekolah baharu akan melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) minggu depan.

DLP akan bermula pada 7 Januari bagi sekolah di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor, manakala negeri lain dilaksanakan pada 8 Januari.

Kementerian Pendidikan, dalam satu kenyataan hari ini, berkata 1,215 sekolah akan meneruskan program itu bagi kelas sedia ada dan boleh membuat pembukaan kelas baharu bagi Tahun Satu dan Tingkatan Satu.

"Bagi 88 sekolah baharu yang diluluskan pelaksanaannya pada tahun ini, pembukaan kelas baharu adalah bagi Tahun Satu dan Tingkatan Satu sahaja," katanya.

Berdasarkan kenyataan itu, kementerian turut memaklumkan Surat Pekeliling Ikhtisas dan Garis Panduan Pelaksanaan DLP Tahun 2018 akan dikeluarkan pada minggu pertama bulan ini.

"Pihak sekolah sudah diminta membuat persediaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya pada peringkat sekolah masing-masing," katanya.

Tambah kenyataan itu, DLP adalah program yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bidang Sains dan Matematik yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

"Objektif pelaksanaannya untuk menyokong penguasaan kemahiran bahasa Inggeris murid melalui peningkatan masa pendedahan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik.

"Ia juga bertujuan memberi peluang kepada murid meningkatkan akses penerokaan pelbagai bidang ilmu untuk bersaing pada peringkat global dan meningkatkan kebolehpasaran murid dalam alam pekerjaan," katanya.

Untuk rekod, pada 3 Disember 2015, Kementerian Pendidikan memaklumkan mengenai pelaksanaan program DLP di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Program DLP dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan secara rintis pada 2016 membabitkan 300 sekolah dan mata pelajaran yang terbabit bagi tujuan itu adalah Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, serta Reka bentuk dan Teknologi bagi Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1.

Berita Harian X