Isnin, 1 Januari 2018 | 4:58pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Pengarah HKL, Datin Dr Nor Akma Yusuf bergambar bersama ibu dan bayi yang menerima sijil ADAM50 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aziah Azmee

RM100 juta setahun biaya ADAM50

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM100 juta setahun dijangka dibelanjakan bagi pembiayaan Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50), skim khas untuk anak dilahirkan pada 1 Januari 2018 sehingga tahun 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata jumlah itu berdasarkan anggaran RM200 bagi setiap 500,000 bayi yang dilahirkan dalam setahun di negara ini.

Katanya, dana itu akan dibiayai PNB dan kerajaan secara 50:50, dengan anggaran peruntukan RM500 juta bagi tempoh lima tahun ADAM50 dilaksanakan.

"Ibu bapa perlu membuat pendaftaran di cawangan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) atau ejen bank ASNB selepas mendapat sijil lahir atau MyKid daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Selepas mendaftar, dana RM200 menerusi inisiatif ADAM50 ini akan dimasukkan secara terus ke dalam akaun bayi yang diaktifkan.

"Bagi bayi Bumiputera, dana itu akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB), manakala Amanah Saham 1Malaysia untuk bayi bukan Bumiputera," katanya pada sidang media di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah HKL, Datin Dr Nor Akma Yusuf.

ADAM50 adalah inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober lalu.

Menerusi inisiatif ADAM50, bayi yang lahir pada pada 1 Januari 2018 sehingga tahun 2022 diberi RM200 sebagai dana pelaburan permulaan dan ia tidak boleh dikeluarkan sehingga mereka berusia 18 tahun.

Terdahulu, Abdul Rahman melawat dan menyerahkan sijil ADAM50 kepada lapan bayi yang lahir di HKL hari ini, sekali gus menjadikan mereka antara yang terawal mendapat manfaat skim berkenaan.

Abdul Rahman berkata, pihaknya turut membuat penyerahan sijil ADAM50 kepada bayi yang lahir pada 1 Januari 2018 di 30 lokasi berbeza seluruh negara termasuk di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

Sementara itu, beliau berkata, ibu bapa perlu mengaktifkan dana ADAM50 anak mereka dalam tempoh setahun daripada tarikh dilahirkan, atau akan hilang peluang berbuat demikian jika melebihi tempoh terbabit.

"Saya harap, ibu bapa akan membuat tabungan bulanan semampu mungkin untuk anak mereka menikmati manfaat pelaburan berganda.

"Sebagai contoh, jika RM200 itu dibiarkan sehingga anak mencecah usia 18 tahun, gandaan pelaburan diperoleh kira-kira RM571, namun jika ibu bapa menyimpan RM100 setiap bulan, jumlah diperoleh adalah hampir RM20,000 bagi tempoh sama," katanya.

Berita Harian X