Ahad, 31 Disember 2017 | 7:05pm
PROF Dr Ahmad Zubaidi (dua dari kanan) menunjukkan aplikasi eDompet sempena pelancaran UniSZA Kampus Tanpa Tunai dan majlis penyerahan Amanat Tahun Baharu 2018, di Kuala Nerus. - Foto Nuruljannah Anam

UniSZA lancar eDompet

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi Kampus Tanpa Tunai pertama di Pantai Timur Semenanjung dengan pelancaran aplikasi eDompet hari ini, sebagai kaedah pembayaran tunggal untuk semua urusan jual beli di dalam kampus berkenaan.

Dengan pelancaran itu, penuntut dan kakitangan UniSZA di tiga kampus iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Besut dan Kampus Perubatan di Kuala Terengganu, boleh membuat pembayaran di kedai terpilih tanpa tunai atau kad debit.

Aplikasi eDompet boleh dimuat turun daripada App Store atau Google Play dan pengguna perlu mendaftar terlebih dahulu serta pembuat penambahan wang melalui perbankan internet.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Ahmad Zubaidi Ab Latif, berkata penggunaan eDompet lebih menjamin keselamatan kerana tidak perlu membawa wang untuk berbelanja.

"Setakat ini, penggunaan eDompet digunakan di semua kampus UniSZA seperti di kafetaria dan kedai terpilih di dalam UniSZA dan ia akan diperluaskan lagi pada masa akan datang," katanya pada sidang media majlis penyerahan Amanat Tahun Baharu 2018 Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, di sini, hari ini.

eDompet bukan saja memberi kemudahan kepada pembeli, malah memanfaatkan penjual kerana ada rekod jualan di mana penjual boleh melihat prestasi jualan pada setiap hari operasi perniagaan.

Pada majlis sama, UniSZA menjalin kerjasama strategik bersama Celcom Axiata Berhad, sebagai usaha membantu pelajar dengan kemudahan serta alatan dalam pembelajaran mereka.

Ahmad Zubaidi berkata, dalam usaha permodenan masyarakat kampus, Celcom menyumbangkan 2,000 pek SIM pra-bayar Xpax, yang dikhususkan untuk memberi kemudahan mampu milik kepada penuntut.

Projek khas itu menawarkan 10GB internet asas percuma serta 10GB Facebook percuma dan RM20 sebulan untuk panggilan tanpa had selama 30 hari ke semua nombor Celcom.

Selain itu, Celcom juga menyumbangkan 'food-cart' atau gerai makanan bergerak yang akan diusahakan pelajar UniSZA. 

"Kos 'food-cart' membabitkan kos RM20,000 dan boleh digunakan untuk penuntut UniSZA berniaga di lokasi yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Berita Harian X