Isnin, 18 Disember 2017 | 8:19pm
KULIT lembu atau kerbau dikatakan menghasilkan bunyi yang lebih kemas dan rentaknya yang lebih sedap didengari berbanding kulit kambing. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MOHD Sapri Bahari menunjukkan tempahan rebana yang sudah siap. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SENARAI rebana dan kompang. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Rebana Perak produk baharu pelancongan negeri

KUALA KANGSAR: Bukan sekadar menjadi alat muzik tradisional yang dimainkan pada majlis keraian semata-mata, sebaliknya rebana Perak kini mampu menjadi produk baharu pelancongan negeri.

Melihat bentuk fizikalnya, pasti ramai yang terkeliru dan menyangka ia adalah kompang, sebaliknya berbeza daripada segi saiz, ukur lilit, lebar pemegang serta bunyi yang dihasilkan rebana Perak.

Walaupun sering dimainkan pada majlis keraian seperti perkahwinan, berkhatan dan aqiqah, namun rebana Perak tetap mempunyai keistimewaan tersendiri khususnya dari sudut penghasilan irama berikutan perbezaan saiz serta bahan pembuatan yang berlainan dengan kompang.

Begitu juga pembuatan rebana Perak menggunakan kulit lembu atau kerbau pada bahagian diafram, berbanding kompang yang menggunakan kulit kambing, selain menggunakan kayu jenis halban, nangka dan kayu sungai.


REBANA yang dihasilkannya yang sudah siap. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

BEDUK yang dihasilkan Mohd Sapri Bahari digunakan dalam rancangan realiti televisyen Pencetus Ummah dan Imam Muda. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Pembuat alat muzik tradisional ini, Mohd Sapri Bahari, 62, berkata, berdasarkan penceritaan turun-temurun, rebana Perak dikaitkan dengan alat muzik yang berasal dari negara Arab.

"Ia menjadi hiburan kepada baginda Sultan Perak yang sering mudik di Sungai Perak bagi menyantuni rakyat jelata dan pedagang dari tanah Arab yang turut sama menyertai rombongan baginda.

"Ditambah pula lagu yang dimainkan bersama rebana lebih bersifat ketuhanan dengan berdasarkan kombinasi syair dan hadis atau matan teks yang dipetik dari kitab Maulud Syariful Anam yang berkisar mengenai pujian kepada Allah serta Rasul.

"Jadi, tidak keterlaluan saya katakan seni warisan itu berpotensi merancakkan pakej industri pelancongan desa bagi mereka yang melawat Perak," katanya kepada BH ketika ditemui di premisnya di Kampung Kepala Bendang, di sini.


SELAIN rebana, Mohd Sapri Bahari turut menghasilkan kraftangan lain secara sambilan kompang, beduk, lesung kayu, takor dan gasing kayu. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Bagi memastikan warisan seni itu berkekalan, beliau menubuhkan Sentuhan Rebana Asli Warisan (SRAW) yang bernaung di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, yang kini giat menjalankan promosi.

"Ketika ini hanya terdapat dua pengusaha rebana Perak berdaftar dengan JKKN Perak, manakala selebihnya bergerak secara sambilan dan tidak berdaftar.

"Sebenarnya JKKN Perak kekurangan tenaga pengajar, jadi saya beberapa rakan yang lain bersama-sama mengadakan kursus serta bengkel bagi memastikan ia tidak lapuk ditelan zaman," kata Mohd Sapri yang sudah berjinak dengan pembuatan rebana sejak lebih 30 tahun lalu.

Katanya lagi, kurangnya promosi rebana Perak, selain keengganan kumpulan yang mendendangkan alat muzik itu mendaftar dengan badan berwajib menjadi punca alat muzik tradisional berkenaan semakin dilupakan, khususnya generasi muda.


KEKURANGAN kumpulan bermain rebana Perak yang berdaftar dengan agensi berkaitan menyumbang kepada kelunturan alat muzik tradisi berkenaan. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

"Kebanyakan pembuat rebana sambilan dan tidak berdaftar di negeri ini hanya bertahan separuh jalan kerana tiada usaha untuk promosi hingga menyebabkan ia dilakukan secara sambil lewa.

"Tidak cukup dengan itu, penggunaan rebana dalam pertandingan seperti nasyid di sekolah juga tidak dibenarkan kerana alunannya dikatakan tidak 'masuk' dengan kategori kompang harmoni, menyebabkan permainan rebana Perak makin terhakis dalam jiwa generasi muda.

Datuk kepada 13 cucu itu berkata, pembuatannya tidak semudah yang disangka kerana ia turut mengambil kira proses penalaan bunyi yang bersesuaian.

"Biarpun dibantu seorang pekerja, kebiasaannya hanya saya yang akan menguji rebana yang sudah siap bagi menentukan bunyi yang terbaik dan menepati kehendak pelanggan selain mengambil kira fungsi rebana sama ada sebagai rebana peningkah, rebana pelalu, atau rebana penyelang.

"Tambahan pula secara asalnya permainan rebana terbahagi kepada tiga jenis pukulan iaitu pukulan hadrah, sariful anam dan pukulan bebas," katanya yang turut dilantik sebagai juru demo bagi seni persembahan rebana di bawah JKKN Perak.

Katanya, adalah sangat mendukacitakan sekiranya seni warisan muzik tradisional yang sinonim dengan masyarakat negeri Perak ini dibiarkan terkubur kerana ia mencerminkan warisan budaya Perak.

INFO

  • SRAW (Sentuhan Rebana Asli Warisan) Enterprise yang diusahakan Mohd Sapri dinobatkan sebagai pengusaha kraftangan terbaik negeri Perak bagi 2017 menerusi Anugerah Pelancongan Negeri Perak 2017.
  • Mohd Sapri turut menghasilkan kraftangan lain secara sambilan yang berasaskan kayu termasuk kompang, beduk, lesung kayu, takor dan gasing kayu.
  • Beduk yang dihasilkan Mohd Sapri digunakan menerusi rancangan realiti televisyen, Pencetus Ummah dan Imam Muda terbitan ASTRO OASIS.
Berita Harian X