Isnin, 18 Disember 2017 | 7:50pm
KETUA Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Am HKL, Prof Dr Harikrishna KN Nair (tengah), Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) HKL, Dr Lee Fatt Soon dan Unit Pencegahan Kecederaan Tekanan Kepala Jururawat, Hamiza Ishak semasa pelancaran Pencegahan Kecederaan Tekanan Seminar di Auditorium Utama HKL . - Foto Hafiz Sohaimi

Unit Penjagaan Luka mulai tahun depan

KUALA LUMPUR: Semua 1,100 klinik dan 146 hospital di seluruh negara akan dilengkapi Unit Penjagaan Luka dan dibekalkan kit terbaru penjagaan luka bermula pertengahan tahun depan.

Penasihat Kebangsaan Kesihatan Primer, Dr Harikrishna Nair, berkata unit berkenaan akan bertumpu kepada kes luka, mengurangkan kos rawatan dan meringankan beban pesakit yang tidak perlu mendapatkan rawatan harian.

"Kajian Persatuan Perawatan Luka Profesional Malaysia (MSWCP) mendapati kecederaan luka di negara ini semakin membimbangkan.

"Paling utama diabetes yang menyumbang antara 50 hingga 60 peratus kes luka dan masing-masing 10 peratus bagi kes kemalangan, pembedahan dan lain-lain.

"Golongan muda tertinggi mengalami luka dipotong kaki akibat diabetes dan dianggarkan 65 pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sehari manakala purata jumlahnya ialah 1,000 sebulan.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 700 adalah golongan muda.

"Sebanyak 68 peratus pesakit yang dipotong kaki akibat diabetes meninggal dunia dalam tempoh lima tahun, maka kita perlu agresif dalam memberi tumpuan kepada Unit Pencegahan Kecederaan Kulit dan Tisu serta membekalkan kit bagi pesakit luka biasa hingga peringkat kronik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Seminar Langkah Pencegahan Kecederaan dan Penjagaan Luka di HKL, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) HKL, Dr Lee Fatt Soon dan Ketua Jururawat Unit Pencegahan Kecederaan Kulit dan Tisu, Hamiza Ishak.

Dr Nair yang juga Presiden MSWCP dan Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Am HKL berkata, sebanyak 700 kit sudah dibekalkan ke hospital dan klinik kerajaan sejak 2012.

"Ia memberi banyak manfaat dari segi penjimatan kos, tempoh rawatan dan tidak membebankan pesakit.

"Kajian di tujuh hospital seluruh negara mendapati kos merawat luka berjumlah RM1 juta setiap bulan, manakala penggunaan kit mengurangkan kos berkenaan 40 peratus.

"Kit ini mengandungi bahan rawatan cuci terbaru seperti perak, kolagen, polimer dan madu untuk menyerap bendalir dalam luka manakala cucian hanya perlu dibuat dua kali seminggu. Masa untuk sembuh juga lebih cepat dalam tempoh sebulan," katanya.

Pada majlis itu, MSWCP turut menyumbang RM100,000 bagi kos Terapi Negatif Rawatan Luka kepada HKL dan 17 kit bagi 17 klinik di bawah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dengan nilai keseluruhan RM34,000.

INFO

* RM2,000 - harga setiap kit

* 50 - bilangan pesakit boleh menggunakan setiap kit

* 40 peratus - pengurangan kos rawatan setiap hospital dengan penggunaan kit

Berita Harian X