Selasa, 12 Disember 2017 | 10:40pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan melancarkan buku 'Kompilasi Keputusan Syariah Dalam Kewangan Islam (Edisi Ketiga)', ketika mencemar duli hadir ke Majlis Makan Malam Ulangtahun ke 20 'Shariah Advisory Council of Bank Negara Malaysia', di Grand Ballroom Sabah, Shangri-La Hotel Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan melancarkan buku 'Kompilasi Keputusan Syariah Dalam Kewangan Islam (Edisi Ketiga)', ketika mencemar duli hadir ke Majlis Makan Malam Ulangtahun ke 20 'Shariah Advisory Council of Bank Negara Malaysia', di Grand Ballroom Sabah, Shangri-La Hotel Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Manfaatkan Fintech untuk kutip, agih zakat: Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah menyeru peserta industri kewangan Islam memanfaatkan teknologi kewangan (Fintech) untuk merevolusikan kutipan dan pengagihan zakat dan wakaf.

"Bayangkan seketika, bayaran zakat boleh dikira dan dibuat menggunakan aplikasi telefon pintar, yang menyediakan pembayar pilihan sumbangan yang disesuaikan dengan keutamaan peribadi mereka.

"Menerusi pelaksanaan sistem Fintech seperti itu, dengan kerjasama pelbagai pihak berkuasa agama dan zakat negara, kewangan Islam dapat digerakkan dengan lebih cekap, dengan cara yang lebih telus, dan pada skala yang lebih besar, menjadikan perbezaan yang mendalam dan positif dalam berdepan krisis global yang teruk," titah baginda.

Baginda bertitah pada Makan Malam Ulang Tahun ke-20 Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Sultan Nazrin bertitah, kewangan Islam turut mempunyai pelbagai instrumen pembiayaan sosial yang boleh digunakan untuk meningkatkan dana dan menggerakkan sumbangan daripada pelbagai sumber, termasuk sektor korporat, pelabur berimpak dan usahawan sosial.

Baginda bertitah, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga boleh direalisasikan menerusi kewangan Islam.

Sehubungan itu, titah baginda, Malaysia wajar membuka jalan bagi sukuk membabitkan perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar dengan menerbitkan sukuk hijau pertama dunia di negara ini.

"Sesungguhnya terdapat beberapa sukuk Pelaburan Bertanggungjawab Sosial (SRI) ditubuhkan yang menyokong matlamat SDG.

"Contohnya, GAVI, sukuk Vaccine Alliance, membiayai program imunisasi global di negara termiskin dunia, menyokong SDG nombor tiga, yang bertujuan menyediakan kesihatan dan kesejahteraan yang baik untuk semua.

"Sementara sukuk Khazanah SRI, membiayai sekolah di Malaysia, mempromosikan SDG nombor empat, yang menganggap pendidikan berkualiti sebagai asas untuk meningkatkan kehidupan rakyat," titah baginda.

Baginda berharap, langkah yang dilaksanakan Malaysia itu akan menjadi pemangkin kepada dunia Islam lain dalam menyumbang kepada SDG.

Pada majlis makan malam itu, Sultan Nazrin melancarkan tiga buku sempena peringatan Ulang Tahun ke-20 Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia.

Buku berkenaan ialah Buku Edisi Mewah: 20 Years of the Shariah Advisory Council - From Principles to Practice; Compilation of Shariah Standards and Operational Requirements dan Kompilasi Keputusan Syariah dalam Kewangan Islam (Edisi Ketiga).

Berita Harian X