Selasa, 12 Disember 2017 | 7:17pm
PENGASAS dan ahli Kelab Abdullah Ibnu Maktum UIA, Mohd Faiz Shuhaimi (dua dari kanan) bersama ahli komuniti OKU berbincang tentang aktiviti komuniti di Universiti Malaya. - Foto Rosela Ismail

Karnival Varsiti Inklusif peka keperluan OKU

KUALA LUMPUR: Lebih 500 pengunjung, termasuk orang kurang upaya (OKU) dari pelbagai institusi pengajian tinggi, persatuan OKU dan pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sekitar Kuala Lumpur menyertai Karnival Varsiti Inklusif Universiti Malaya (UM) sempena Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) 2017.

Karnival dua hari bertemakan Inklusif itu dianjurkan Unit Pengurusan Siswa OKU, Seksyen Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (BHEPA), UM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pembangunan orang Kurang Upaya (JPOKU), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Koordinator karnival itu, Muhammad Firdaus Abu Hasaan berkata karnival kali kedua itu bertujuan untuk menjayakan aspirasi dalam meningkatkan lagi penyediaan kemudahan dan perkhidmatan pembelajaran dan pengajaran bersesuaian dengan keperluan OKU.

"Karnival ini menjadi platform terbaik menghimpunkan semua penuntut dan pegawai perkhidmatan institut pengajian tinggi (IPT), badan kerajaan dan organisasi swasta menjalinkan kerjasama erat terutama bagi hal ehwal pengurusan OKU dalam sektor pendidikan.

"Saya harap karnival seperti ini dijadikan sebagai medan perintis dan contoh kepada lebih banyak IPT di negara ini dalam menekankan keutamaan kemudahan pendidikan dan perkhidmatan OKU di negara ini," katanya selepas majlis perasmian Karnival Varsiti Inklusif Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Karnival itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suriani Datuk Ahmad.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UM, Datuk Prof Dr Rohana Yusof; Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ketua Seksyen Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UM, Lizawati Abd Sane.

Muhammad Firdaus berkata karnival itu turut menyediakan pelbagai program menarik antaranya Pertandingan Motivator Ikon OKU Intervarsiti (MOKUV) 2017, program kesedaran dan motivasi, pertandingan membuat video bertemakan Inklusif dan banyak lagi.

MOKUV membabitkan penuntut OKU dari tujuh IPT antaranya Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

"Karnival ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran pada masyarakat untuk lebih peka terhadap kebajikan OKU dan keutamaan bagi memastikan mereka selesa menjalani kehidupan dan suasana pembelajaran dan pekerjaan," katanya.

Berita Harian X