Sabtu, 9 Disember 2017 | 7:52pm
DATUK Hasan Nawawi Abd Rahman bersalam dengan rakan-rakan dan ahli keluarga tiba dari Misi Kayuhan Solo Lapan Negara Balkan 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).- Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Hasan Nawawi Abd Rahman tiba dari Misi Kayuhan Solo Lapan Negara Balkan 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Hasan Nawawi Abd Rahman bergambar dengan rakan-rakan dan ahli keluarga sebaik tiba dari Misi Kayuhan Solo Lapan Negara Balkan 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).- Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kayuhan Laluan Sutera pula

SEPANG: Pengayuh solo yang merentasi lapan negara, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

Beliau yang juga bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman, 63, berkata pelbagai cabaran ditempuhi sepanjang 70 hari kayuhan itu.

"Alhamdulillah, saya selamat tiba di tanah air dalam keadaan sihat tanpa kecederaan. Saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram," katanya ketika ditemui di KLIA, hari ini.

Hasan berkata, banyak kenangan yang tidak dapat lupakan termasuk kayuhan itu hampir gagal kerana cuba disamun dua penjenayah pada hari pertama kayuhan di Iran.

Dalam kejadian itu, beliau berkata, dua remaja menaiki motosikal menghampirinya ketika menuju bandar Qazvin, berhampiran kawasan rehat.

"Mereka cuba 'memancing' saya dengan mengajukan beberapa soalan, namun saya berdiam diri dan meneruskan perjalanan.

"Tidak lama selepas itu, mereka terus menahan saya dan cuba untuk menyamun tetapi saya bernasib baik apabila sebuah kereta yang dipandu penduduk di kawasan berkenaan datang memberi bantuan," katanya.

Beliau yang juga rakyat Malaysia pertama mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kerana berbasikal mengeliling dunia pada 2001-2002, berkata, kejadian itu membuatkannya lebih berhati-hati.

Ditanya mengenai perancangannya, Hasan berkata, beliau bercadang berkayuh di Laluan Sutera membabitkan jarak kira-kira 6,000 kilometer pertengahan tahun depan.

"Kayuhan Laluan Sutera ini turut membabitkan beberapa peserta lain dan kita akan memulakan persiapan dalam tempoh terdekat," katanya.

Kayuhan solo yang baru ditamatkan Hasan kali ini membabitkan lapan negara Balkan, bermula pada 21 September lalu membabitkan Iran, Turki, Bulgaria, Serbia, Bosnia Herzegovina, Croatia, Slovenia dan berakhir di Itali.

INFO

Jarak kayuhan 5,200 km

Berita Harian X