Sabtu, 9 Disember 2017 | 4:05pm
AHMAD Razin (tengah) ketika melawat pameran kesihatan sempena Program Gotong-royong Mega Bersepadu Perangi Aedes peringkat Kelantan di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra, di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi
AHMAD Razin (tengah) ketika melawat pameran kesihatan sempena Program Gotong-royong Mega Bersepadu Perangi Aedes peringkat Kelantan di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra, di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

15 klinik baharu ganti yang terjejas banjir

KOTA BHARU: Sebanyak 15 klinik desa dan kesihatan akan dibina bagi menggantikan klinik yang sering terjejas setiap kali banjir membabitkan beberapa daerah di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir, berkata daripada jumlah itu, lapan klinik akan dibina dalam masa terdekat sama ada jenis bangunan yang tinggi untuk mengelakkan ditenggelami air atau dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

Katanya, antara klinik yang dibina dalam masa terdekat ialah Klinik Kesihatan Kampung Bahagia di Kuala Krai; Klinik Desa Mata Air dan Kampung Joh (Machang); Klinik Sungai Keladi, Kota Bharu; Klinik Limau Kasturi, Gua Musang; Klinik Kampung Kerilla dan Sokor di Tanah Merah serta Klinik Desa Kampung Teluk Jering di Tumpat.

"Selain itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, sebuah Klinik Kesihatan Rantau Panjang yang baharu kini dalam pembinaan di Kampung Gual Tinggi bagi menggantikan klinik itu yang sering terjejas akibat banjir setiap tahun dengan kos kira-kira RM30 juta.

"Dalam tempoh gelombang pertama banjir baru-baru ini, dua premis kesihatan terjejas iaitu Klinik Kesihatan Rantau Panjang dan Klinik Desa Kampung Simpangan, Tumpat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Gotong-royong Mega Bersepadu Perangi Aedes peringkat Kelantan di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Razin turut menjalankan gotong-royong di sekitar perkarangan sekolah terbabit bagi mencegah penularan wabak denggi terutama selepas banjir.

Bagaimanapun, Ahmad Razin berkata, tiada kes denggi dicatatkan dalam tempoh banjir baru-baru ini.

Katanya lagi, kes membabitkan demam denggi sepanjang tahun ini sehingga minggu ke-48, sebanyak 2,455 kes dicatatkan berbanding 5,742 pada tahun lalu.

"Terdapat penurunan pada tahun ini dan begitu juga daripada indeks kematian di mana hanya dua kes dicatatkan tahun ini berbanding 10 pada tahun lalu.

"Selain demam denggi, kita juga peka dengan penyakit lain yang dibawa air sepanjang musim banjir termasuk demam kepialu dan kencing tikus, namun tiada aduan diterima termasuk kes keracunan makanan di pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

Berita Harian X