Rabu, 6 Disember 2017 | 6:51pm
 BEKAS wartawan sambilan Berita Harian, Che Saad Nordin 65, (dua dari kanan) menerima gambar kenangan daripada rakannya bekas wartawan sambilan Berita Harian, ldris Noor (tiga dari kiri) di Menara Condong Teluk Intan ketika membuat Kayuhan Solo-Jejak Wartawan sejak sebulan lalu. - Foto Abu Bakar Al Sidek
BEKAS wartawan sambilan Berita Harian, Che Saad Nordin 65, (dua dari kanan) menerima gambar kenangan daripada rakannya bekas wartawan sambilan Berita Harian, ldris Noor (tiga dari kiri) di Menara Condong Teluk Intan ketika membuat Kayuhan Solo-Jejak Wartawan sejak sebulan lalu. - Foto Abu Bakar Al Sidek

Che Saad bertemu rakan wartawan di Teluk Intan

TELUK INTAN: Bekas wartawan sambilan BH, Che Saad Nordin, 65, yang membuat Kayuhan Solo-Jejak Wartawan sejak sebulan lalu singgah di Teluk Intan hari ini bagi bertemu dengan rakan wartawan veteran yang masih setia lagi memberikan khidmat mereka di bandar ini.

Katanya, selepas sebulan membuat kayuhan solo dan bertemu rakan bekas wartawan yang sudah bersara dan meninjau kehidupan mereka selepas bersara, banyak perkara yang boleh diketengahkan bagi menghargai sumbangan mereka yang pernah bertugas sebagai wartawan.

"Saya cuba menyelami masalah mereka dan kemudiannya akan diajukan kepada pertubuhan untuk tindakan seperti bantuan kebajikan disalurkan kepada yang memerlukan dan turut mencadangkan supaya diwujudkan satu dana khas bagi memberi elaun sara hidup kepada bekas wartawan yang kurang bernasib baik.

"Ia bagi menghargai sumbangan dan jasa mereka yang banyak membantu ketika mereka berkhidmat sebagai wartawan," katanya yang ditemui ketika singgah di Dataran Menara Condong di sini.

Ketibaan beliau disambut Presiden Persatuan Wartawan Cemerlang Perak, Datuk Azmi Abdul Malek dan dua bekas wartawan sambilan BH, ldris Noor dan Abu Bakar Al Sidek.

Che Saad berkata, jika cadangan untuk mewujudkan dana khas bagi membantu wartawan kurang bernasib baik itu diterima, ia adalah satu pengiktirafan besar kepada golongan wartawan dalam menghargai sumbangan yang turut disumbang untuk sama-sama membangunkan negara.

Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya menyokong saranan yang dikemukakan itu kerana ia dapat membantu membalas jasa wartawan yang banyak memberikan sumbangan baik di peringkat negeri mahupun pusat.

"Kami akan cuba mengetengahkan perkara ini dan mengetengahkannya kepada pihak yang berkenaan sebagai usaha mengiktiraf jasa dan sumbangan yang pernah diberikan mereka ketika berkhidmat di agensi media masing-masing," katanya.

Berita Harian X