Selasa, 5 Disember 2017 | 6:50pm
KETUA UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. - Foto Syarafiq Abd Samad
KETUA UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. - Foto Syarafiq Abd Samad

PRU-14: "Nak menang buat cara nak menang"

KUALA LUMPUR: "Kalau mahu menang, buat cara mahu menang pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) nanti".

Demikian kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ketika diminta mengulas intipati Taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Mohd Puad berkata, sebarang hasrat ahli parti untuk bertanding dalam pemilihan jawatan UMNO wajar dilupakan ketika ini sebaliknya menjadikan persediaan PRU14 sebagai keutamaan.

Pada masa sama, katanya, ahli parti termasuk anggota kepimpinan perlu bergerak seiring dengan matlamat Presiden UMNO untuk memastikan agenda parti terus diperjuangkan.

"Saya amat gembira dengan kenyataan dan taklimat Presiden UMNO, tidak boleh main-main lagi.

"Beliau bertegas, yakin dan serius, tidak mahu ahli UMNO menjadi hipokrit yang hanya mempunyai agenda tersendiri.

"UMNO parti perjuangan, ada agenda maka kita perlukan pemimpin seperti beliau (Najib)," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari, berkata mesej utama disampaikan Presiden UMNO adalah persiapan mentaliti untuk menang PRU14.

Selain itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, ahli UMNO diingatkan untuk bekerjasama dan selesaikan permasalahan dalaman parti.

"Ini semua persediaan untuk hadapi PRU-14," katanya.

Berita Harian X