Jumaat, 1 Disember 2017 | 8:03pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berucap ketika Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS 5.0) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Tuduhan jual negara kepada China berniat jahat

KUALA LUMPUR: Tuduhan pembangkang kononnya kerajaan menjual negara dengan menerima pelaburan dari China berniat jahat dan bertujuan menjejaskan keyakinan pelabur kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana ia tidak mempunyai asas langsung kerana China berada pada kedudukan ke-10 dalam pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia dengan nilai pelaburan sehingga suku ketiga 2017 pada RM15.5 bilion.

Ini amat rendah jika dibanding dengan FDI Singapura yang berada pada kedudukan pertama iaitu RM115.7 bilion diikuti Jepun (RM70 bilion), Hong Kong (RM47.4 bilion), Belanda (RM41.5 bilion), Amerika Syarikat (RM36.8 bilion), Switzerland (RM27 bilion), Jerman (RM23.5 bilion), Virgin Island (RM21 bilion), United Kingdom (RM20.2 bilion) dan China (RM15.5 bilion).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata adalah tidak adil membandingkan Malaysia dengan negara seperti Sudan, Sri Lanka dan Kemboja yang hilang kepentingan akibat berhutang dengan China.

Katanya, ini kerana kedudukan ekonomi Malaysia adalah lebih kukuh berbanding negara terbabit dan kita mempunyai kemampuan menguruskan hutang selain negara juga mempunyai dagangan langsung luar yang signifikan.

"Realitinya, pelaburan kita setara sekarang (dibandingkan pelaburan China di Malaysia dan sebaliknya). Malah suatu ketika dulu, nisbah 2:1 berpihak kepada kita," kata Mustapa kepada pemberita selepas Forum Pelaburan Asing dan Kedaulatan Negara sempena Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 5.0 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ikon Mahasiswa Nasional 2016, Wan Mahassan Wan Zain bertindak sebagai moderator forum itu.

Mustapa berkata, semua negara berhutang untuk menjalankan projek pembangunan yang memberi manfaat jangka panjang untuk negara, bagaimanapun ia dilakukan berdasarkan kemampuan ekonomi semasa.

 "Jadi jangan banding kita dengan negara terbabit," katanya merujuk kepada Sudan, Sri Lanka dan Kemboja yang masing-masing mempunyai hutang AS$10 bilion, AS$8 bilion dan AS$4 bilion dengan China. 

Terdahulu dalam ucapannya Mustapa berkata, penerima FDI terbesar di ASEAN pada 2016 adalah Singapura dengan AS$54 bilion diikuti Vietnam (AS$13 bilion) dan Malaysia (AS$10 bilion) di kedudukan ketiga.

"Isunya kenapa timbul (isu jual negara ini) sekarang, kenapa dasar pandang ke timur (pelaburan) Jepun tak jadi isu. China pada kedudukan 10 (FDI) tidak besar sangat, bagaimana pula dengan sembilan negara lain," kata Mustapa mempersoalkan adakah ia bermakna negara lain juga menjajah Malaysia, atau Malaysia menjajah negara di mana ia mempunyai pelaburan besar seperti di Papua New Guinea dan Indonesia.

Mustapa juga mempersoalkan niat pembangkang, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa 700,000 rakyat China akan menetap di Forest City Johor dan kemudiannya akan minta kerakyatan dan mengundi di Malaysia.

Ini kerana kerajaan negeri pimpinan pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang juga giat menarik pelabur asing ke negeri mereka ketika pakatan pembangkang terus menuduh kononnya kerajaan mahu menjual negara kepada China melalui pelaburan asing.

Berita Harian X