Rabu, 29 November 2017 | 1:34pm

Dua keluarga rayu bantuan bedah jantung anak

KUALA LUMPUR:Seorang bayi dan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan serta rawatan jantung berlubang di Hospital Gleneagles, di sini.

Sharifah Husna Qaisara Syed Hassan, dua bulan, dikesan menghidap masalah jantung berlubang jenis VSD (Ventricular Septal Defect) selain saluran injap tersumbat.

Bapanya, Syed Hassan Farid, 36, penyelia tapak pembangunan di Pahang, berkata anak keempatnya dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dalam keadaan stabil tetapi pembedahan perlu dilakukan segera.

"Sharifah Husna Qaisara dikesan mengalami masalah berkenaan sejak dalam kandungan menyebabkan darah gagal mngalir menerusi saluran injap jantung.

"Masalah itu menyebabkan anak bongsu saya sukar untuk bernafas seperti biasa dan perlukan bantuan oksigen dan memerlukan RM80,000 untuk pembedahan," katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles, di sini, hari ini.

Sementara itu, bapa kepada Yean Wen Yee, Yean Fook Yen, 56, berkata anak ketiganya itu memerlukan kos sebanyak

RM70,000 bagi menjalani pembedahan jantung menutupi jantung berlubang pada Januari 2018.

"Anak saya disahkan mempunyai masalah jantung berlubang  ketika berumur dua minggu dan ini adalah pembedahan ketiganya.

"Dengan pendapatan kurang RM 3,000 sebulan bekerja sebagai jurujual di Johor Bahru, manakala isteri, Rawipha Sae Sin, 35, suri rumah. Kami tidak mampu menanggung kos pembedahan tinggi itu ", katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27148977.

Berita Harian X