Selasa, 28 November 2017 | 4:09pm
ABDUL Basith Hamid (lapan kiri belakang) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor, Datuk Siti Maslamah Othman (sembilan kiri belakang) bersama penerima bantuan pendidikan bagi sesi persekolahan 2018 serta penerima bantuan asnaf dan fakir miskin pada Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan untuk Asnaf, Fakir dan Miskin Negeri Selangor sesi 2018 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

RM28.2 juta untuk anak-anak asnaf, fakir di Selangor

SHAH ALAM: Sejumlah RM28.2 juta diperuntukkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membiayai persiapan persekolahan sesi 2018 bagi anak-anak asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid berkata, sejumlah 49,773 anak-anak yang bersekolah mendapat bantuan berkenaan.

"Melalui bantuan ini, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan (SRK) dan sekolah rendah agama (SRA) menerima RM150 untuk yuran persekolahan, sekolah menengah kebangsaan (SMK) (RM250) dan Prasekolah (RM100).

"Pelajar turut menerima tiga pasang pakaian sekolah serta kelengkapan lain yang berjumlah RM230 untuk SRK, RM200 untuk SRA dan RM275 untuk pelajar SMK," katanya pada pemberita di Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir dan Miskin Negeri Selangor sesi 2018, di Dewan Raja Muda Musa, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Datuk Siti Maslamah Othman.

Abdul Basith berkata, bantuan persekolahan diagihkan setiap tahun bagi meringankan bebanan asnaf fakir dan miskin terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

"Selain itu, pelajar juga akan menerima bantuan tambahan RM100 setiap orang dan secara purata setiap keluarga menerima bantuan maksimum sehingga RM2,000 mengikut jumlah tanggungan," katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama LZS turut menerima bayaran zakat perniagaan daripada dua buah syarikat berjumlah RM6.1 juta.

Berita Harian X