Ahad, 26 November 2017 | 12:16pm
ANAKANDA Sultan Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, hari ini dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah yang ke-20. - Foto Amran Hamid
ANAKANDA Sultan Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, hari ini dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah yang ke-20. - Foto Amran Hamid

Tengku Sarafudin Badlishah dimasyhur Raja Muda Kedah ke-20

ALOR SETAR: Anakanda Sultan Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, hari ini dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah yang ke-20.

Pemasyhuran disempurnakan di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, sempena istiadat yang berlangsung di Istana Anak Bukit, di sini.

Terdahulu, pemasyhuran pelantikan Tengku Sarafudin Badlishah dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din, diikuti lafaz sumpah dan menandatangani watikah sumpah Raja Muda Kedah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah dan Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk Syeikh Abd Rahman Abdullah, menandatangani Watikah Sumpah Raja Muda Kedah sebagai saksi.

Ia kemudian disusuli pengurniaan Keris Kebesaran kepada Tengku Sarafudin Badlishah oleh Sultan Sallehuddin.

Kemudiannya, nobat dipalu dan sembilan das tembakan meriam diadakan.

Sempena istiadat sama, turut diadakan pengisytiharan pelantikan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Yang turut berangkat pada istiadat itu, Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Tengku Sarafudin Badlishah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah bagi menggantikan ayahandanya yang dilantik sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mangkat pada September lalu.

Tengku Sarafudin Badlishah, 50, ialah anakanda sulung Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tunku Ariff.

Tengku Sarafuddin Badlishah mendirikan rumahtangga dengan Raja Puan Muda Kedah, Zaheeda Mohamad Ariff dan mempunyai dua cahaya mata.

Berita Harian X