Sabtu, 25 November 2017 | 10:41pm
SEBAHAGIAN daripada produk industri asas tani (IAT) yang dikumpulkan di Agrobazaar Malaysia di Singapura (ABMS) yang terletak di Sultan Gate, Singapura.
KETUA Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

FAMA perkenal model baharu Agrobaazar Malaysia di Singapura

SINGAPURA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggariskan tujuh strategi dalam model baharu Agrobazaar Malaysia di Singapura (ABMS) dalam usaha meningkatkan jualan produk dalam pasaran republik itu.

Tujuh strategi itu adalah dengan menganjurkan Pameran Produk Halal Malaysia, menjadikan ABMS sebagai pengedar produk industri asas tani (IAT), pusat promosi sajian popular Malaysia dan agro-pelancongan Malaysia.

Sebanyak tiga lagi strategi digariskan dalam menjadikan ABMS sebagai perkhidmatan pengurusan logistik dan pengimportan, perundingan dan penyaluran maklumat pasaran Singapura serta lokasi dan pengaturan acara untuk Malaysia di Singapura.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, berkata model baharu ABMS dilakukan dalam usaha menjadikan produk tempatan lebih berdaya saing dan mempunyai kekuatan menembusi pasaran dunia.

Katanya, model baharu dengan menggariskan beberapa strategi itu akan dijadikan sebagai landasan untuk FAMA kumpulkan segala produk IAT dan pamerkan pada ABMS di sini.

"Ini adalah strategi baharu, kalau dahulu kita hanya tunjuk tetapi kini kita kumpul dan pamer, boleh membuat pesanan di sini yang akhirnya menjadikannya pusat untuk produk menembusi pasaran luar negara.

"Menerusi strategi baharu ini kita akan meningkatkan usaha untuk pasaran di Singapura dan seterusnya menembusi pasaran negara lain di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis malam bersama artis lagenda@Agrobazaar di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata bermula Januari tahun hadapan, ABMS akan meluaskan pengedarannya ke U-Star Hypermarket yang memiliki memiliki 12 cawangan di seluruh Singapura.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Datuk Zulkifli Adnan; Pengarah Kanan (Pasaran Antarabangsa) FAMA, Datuk Nazipah Jamaludin; Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Mohd Anim Hosnan dan beberapa Pengarah FAMA negeri.

Pada majlis itu, antara artis veteran yang hadir memeriahkan majlis termasuk komposer dan penulis lirik Yusnor Ef dan S Atan, penyanyi dan pelakon seperti Sanisah Huri, Rahimah Rahim, Maria Bachok, Junainah M Amin, Kamaliah Latif, Hamidah Wahab serta Fauziah Zee.

Berita Harian X