Sabtu, 25 November 2017 | 6:32pm
PENGERUSI Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa (empat kanan) dan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid (tiga kiri) melancarkan #Kongsirezeki pada program Hari Bertemu Pelanggan 2017 di Ibu Pejabat Lembaga Zakat Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

LZS anjur kempen #kongsirezeki

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan kempen #kongsirezeki sepanjang Disember, bagi membudayakan kehidupan saling prihatin dalam kalangan masyarakat negeri ini.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid, berkata program julung kali diadakan itu akan memupuk sifat mulia, terutama dengan golongan yang memerlukan, seperti asnaf fakir dan miskin.

"Kadang-kadang masyarakat kita lupa bahawa setiap rezeki yang Allah berikan, di dalamnya ada hak untuk orang lain. Sebab itu, kita anjurkan kempen #kongsirezeki.

"Tidak semestinya kita perlu keluarkan duit yang banyak untuk bantu orang. Hanya beberapa ringgit pun sudah memadai. Apa yang penting ia dilakukan secara berterusan.

"Selain itu, LZS juga melancarkan kempen '8 to 8' iaitu pembayaran zakat boleh bermula RM8 atau ditambah RM8 kepada potongan gaji yang sudah dibuat secara bulanan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan LZS yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung di Bangunan LZS, Seksyen 13, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Adzib Mohd Isa.

Abdul Basith berkata, Hari Bertemu Pelanggan LZS membolehkan pihaknya berinteraksi dengan masyarakat, termasuk menjawab kemusykilan mengenai agihan zakat.

"Ada orang mendakwa macam-macam kepada LZS seperti susah untuk berurusan, agihan zakat tidak adil, termasuk kerenah birokrasi. Semua ini LZS akan jawab serta terangkan kepada masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kira-kira 46,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf menerima bantuan LZS setiap tahun.

"LZS menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM700 juta pada tahun ini. Namun, ia jauh daripada peruntukan sebenar RM1.08 bilion yang diperlukan LZS.

"Atas faktor ini, LZS perlu menyusun kembali senarai penerima zakat dengan mengutamakan golongan yang benar-benar memerlukan," katanya.

Berita Harian X