Sabtu, 25 November 2017 | 5:17pm
SEBAHAGIAN pengunjung mengambil pakaian secara percuma di perkarangan sebuah pasar raya besar di Kuala Nerus, hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
PENGUNJUNG, Abdul Razib Abdullah, 58, memikul sekampit beras selepas mengambil barangan secara percuma di perkarangan sebuah pasar raya besar di Kuala Nerus, hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
SEBAHAGIAN pengunjung membawa barangan yang diberi secara percuma oleh UMT. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

5,000 dapat manfaat pasar percuma

KUALA NERUS: Satu kontena pelbagai barangan keperluan diagihkan sempena Program 'V-Care, V-Concern Free Market For Needy' anjuran penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di perkarangan sebuah pasar raya besar di sini, hari ini.

Pelbagai barangan berkenaan bernilai lebih RM100,000 termasuk pakaian terpakai, tudung, peralatan dapur, beg, kasut, barangan makanan, alat tulis, buku dan pelbagai barangan lain, memanfaatkan lebih 5,000 orang.

Selepas lebih lima jam program berlangsung bermula jam 8 pagi tadi, hampir 5,000 orang memenuhi lokasi program itu untuk mengambil barangan diperlukan.

Semua barangan berkenaan dikumpul oleh 155 penuntut Tahun Dua Program Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) UMT dijangka dapat memberi manfaat kepada 5,000 pengunjung.

Penasihat program yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim UMT, Dr Siti Nur 'Atikah Zulkiffli, berkata barangan berkenaan yang dikumpulkan sejak sebulan lalu hasil sumbangan warga UMT dan penduduk setempat diagihkan secara percuma kepada pengunjung.

"Objektif penganjuran program ini adalah membantu masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah serta kurang berkemampuan untuk memiliki barangan keperluan secara percuma.


PELBAGAI barangan berkenaan bernilai lebih RM100,000 termasuk pakaian terpakai, tudung, peralatan dapur, beg, kasut, barangan makanan, alat tulis, buku dan pelbagai barangan lain. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

"Kempen sumbangan barangan diadakan dalam tempoh sebulan sejak dilancarkan pada 15 Oktober lalu dan terbuka kepada masyarakat sekitar UMT serta kakitangan UMT.

"Malah, kita juga melakukan kutipan barangan dari rumah ke rumah dan pejabat yang terletak di sekitar UMT," katanya.

Selain pemberian barang percuma, ada beberapa aktiviti lain diadakan seperti gerai pameran, pertandingan mewarna, eksplorasi berkumpulan serta kuiz.

Pengunjung, Nadia Mokhtar, 30, dari Kampung Rhu Muda berkata, dia bersyukur masih ramai yang prihatin menderma pakaian serta barangan lain bagi membantu golongan memerlukan.

"Usaha ini harus dipuji, memandangkan musim tengkujuh sudah tiba dan ramai daripada golongan seperti nelayan, petani yang terjejas pendapatan dan memerlukan bantuan seperti ini," katanya.

Berita Harian X