Sabtu, 25 November 2017 | 2:27pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kali ke 63 tahun di Kompleks Tabung Haji, turut hadir Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (dua dari kanan) serta Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa. (kiri). - Foto Yazit Razali
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kali ke 63 tahun di Kompleks Tabung Haji, turut hadir Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (dua dari kanan) serta Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa. (kiri). - Foto Yazit Razali

Syor Suruhanjaya Pendidikan selepas dengar keluhan ramai - GPMS

KUALA LUMPUR: Kebimbangan terhadap sistem pendidikan negara yang sering berubah antara faktor utama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan bagi memandu sistem pendidikan negara.

Keanggotaan suruhanjaya itu dicadangkan dalam kalangan tokoh akademik, korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan kesatuan guru.

Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa, berkata cadangan itu tercetus selepas mendengar keluhan pendidik, ibu bapa dan masyarakat yang khuatir melihat perubahan dasar pendidikan yang kerap berlaku seiring perubahan kepemimpinan di peringkat kementerian.

Beliau berkata, walaupun ada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025), tiada hala tuju yang jelas dalam memperkasakan sistem pendidikan negara.

Katanya, Suruhanjaya Pendidikan juga bermatlamat untuk melindungi dasar pendidikan yang sering dijadikan modal politik menjelang pilihan raya.

"Disebabkan faktor inilah, GPSM melihat keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan supaya dapat memandu sistem pendidikan negara yang lebih mapan seperti di negara maju yang jarang mengubah dasar pendidikan mereka.

"Penubuhan suruhanjaya ini bukan bermatlamat untuk menafikan sumbangan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, sebaliknya untuk memberi mesej bahawa perlu ada satu suruhanjaya bebas yang menentukan dasar pendidikan negara.

"Cadangan itu juga bermatlamat untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa sistem pendidikan sering diubah setiap kali kepemimpinan negara berubah," katanya kepada pemberita pada Persidangan Agung Tahunan GPMS Ke-63 di Kompleks Tabung Haji, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambri berkata, pihak berkepentingan seperti tokoh akademik, NGO, PIBGN dan kesatuan guru perlu duduk berbincang bagi merangka pelan induk suruhanjaya berkenaan.

Terdahulu ketika berucap di majlis perasmian, Zambri turut melancarkan Gerakan Melayu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi menyedarkan orang Melayu mengenai pentingnya penyatuan bangsa itu dalam mempertahankan kuasa politik Melayu.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi kesedaran kepada generasi muda Melayu bahawa penyatuan orang Melayu dapat diperkukuhkan dengan memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, GPMS khuatir terhadap perpecahan dalam kalangan orang Melayu menjelang PRU-14.

Katanya, perpecahan itu tidak menguntungkan orang Melayu kerana ia akan menghakis kuasa politik Melayu yang akhirnya menyebabkan agenda pembangunan Melayu di negara ini menjadi sia-sia.

"GPMS sedar apa yang dinikmati orang Melayu pada hari ini adalah hasil penyatuan orang Melayu pada suatu ketika dahulu.

"Atas kesedaran mengenai kepentingan memegang kuasa politik itu, pada hari ini GPMS melancarkan gerakan dikenali Gerakan Melayu PRU-14.

"Gerakan ini adalah antara usaha untuk menarik orang Melayu terutama generasi muda dalam menyedari bahawa pentingnya penyatuan bangsa Melayu untuk mempertahankan kuasa politik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zambri berkata, GPMS berharap Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin DAP yang bersikap kurang ajar, menggunakan kata-kata kesat dan menghina bangsa Melayu.

"DAP sinonim dengan tindakan provokasi melampau yang menyemarakkan api perkauman," katanya.

Berita Harian X