Selasa, 21 November 2017 | 11:44am
PELAJAR SMKA Kuala Lumpur menghafaz Al-Quran pada program Tahfiz Model Ulul Albab di SMKA Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad
PELAJAR SMKA Kuala Lumpur menghafaz Al-Quran pada program Tahfiz Model Ulul Albab di SMKA Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad

Sedia perluaskan model tahfiz

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan bersedia memperluaskan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) jika memperoleh kelulusan waran perjawatan daripada agensi pusat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata kurikulum pembelajaran Islam sedia ada memberi penekanan kepada aspek amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan di sekolah.

Katanya, pelaksanaan pendekatan itu diharap berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri dan semangat patriotisme, sekali gus memacu usaha kerajaan dalam memupuk masyarakat berakhlak tinggi.

"Kita berpendapat kurikulum sedia ada masih relevan dalam membentuk akhlak dan tingkah laku pelajar di sekolah.

"Kementerian ketika ini melaksanakan kurikulum bersepadu tahfiz ini di 11 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (empat) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (16).

"Pembelajaran menerusi modul TMUA ini membabitkan 9,000 murid, selain menggunakan tenaga kerja 511 guru tahfiz interim," katanya menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh), di Dewan Rakyat, hari ini.

Nasrudin meminta perincian mengenai kesediaan Kementerian Pendidikan memperluaskan TMUA mencakupi institusi pengajian tinggi, susulan pelbagai masalah sosial yang semakin meruncing membabitkan generasi muda ketika ini.

Kamalanathan berkata, kementerian turut bercadang memperkenalkan modul TMUA dan vokasional di semua SMKA, selari tuntutan keperluan apabila mereka menempuh alam pekerjaan.

Menjawab soalan tambahan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) mengenai usaha kerajaan mengekang penularan masalah akhlak membabitkan murid sekolah, Kamalanathan berkata, Kementerian Pendidikan sentiasa menyemak rangka kurikulum setiap lima tahun.

Menerusi pendekatan itu, katanya, setiap masalah berbangkit yang membabitkan murid sekolah berupaya ditangani secara menyeluruh, iaitu menerusi aspek penghayatan akhlak dan beramal.

"Ada pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mengambil tujuh subjek mendapat keputusan semua A walaupun berada dalam penjara.

"Ini membuktikan bukan sekadar pembelajaran menerusi cabang pendidikan yang membantu memupuk akhlak pelajar, tetapi juga tanggungjawab komuniti dan persekitaran sekeliling," katanya.

Berita Harian X