Sabtu, 18 November 2017 | 1:22pm
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Edmund Samunting

Undang-undang khusus henti diskriminasi di tempat kerja

hafzan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melihat diskriminasi di tempat kerja sebagai isu serius berikutan kekerapan aduan membabitkan masalah berkenaan.

Sehubungan itu satu undang-undang khusus diperlukan untuk menghentikan diskriminasi di tempat kerja tanpa mengira bangsa, agama mahu pun jantina.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, diskriminasi di tempat kerja tidak boleh diterima dalam masyarakat demokratik kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun pada masa ini banyak undang-undang berkaitan tempat kerja, seperti Akta Pekerja dan Akta Perhubungan Perusahaan, hakikatnya ia tidak mencukupi menangani masalah berkenaan.

"Melarang kakitangan Muslim di bahagian hadapan dan khidmat pelanggan memakai tudung adalah satu bentuk diskriminasi dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kesamarataan dan menolak diskriminasi serta ketidakadilan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan menetapkan syarat tertentu dalam kontrak kerja ia tidak sepatutnya bersifat diskriminasi.

Katanya, perdebatan berterusan mengenai larangan bertudung oleh rantaian hotel antarabangsa tidak akan berlaku jika adanya undang-undang dan garis panduan jelas mengenainya.

Lam Thye berkata, sebelum ini berlaku juga diskriminasi membabitkan larangan memasuki bangunan kerajaan terhadap wanita kerana didakwa tidak mematuhi garis panduan berpakaian.

"Sama seperti isu tudung, pihak berkuasa perlu mengkaji undang-undang berkaitan untuk memastikan kod etika berpakaian tidak bersifat diskriminasi dan boleh ditafsir sesuka hati penguatkuasa atau pegawai keselamatan secara berlebihan.

"Walaupun ada kod etika berpakaian pada masa ini, ia masih tidak begitu jelas dan boleh ditafsir berdasarkan pandangan anggota penguatkuasa jabatan dan agensi masing-masing.

"Saya harap polemik terbaru ini mendorong pihak berkuasa mengkaji semua undang-undang yang ada bagi menamatkan semua amalan diskriminasi terhadap pekerja, terutama wanita.

Ini merangkumi isu gangguan seksual kerana ada dakwaan bahawa ia boleh berlaku berikutan amalan diskriminasi sedemikian," katanya.

Lam Thye berkata, kajian penting untuk membolehkan kerajaan mendengar pandangan pelbagai pihak, termasuk persatuan, kesatuan pekerja dan pertubuhan bukan kerajaan dalam menentukan sama ada undang-undang sedia ada mencukupi bagi menangani amalan diskriminasi di tempat kerja.

Berita Harian X