Jumaat, 17 November 2017 | 7:59pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. - Foto Saifullizan Tamadi

KDNK catat pertumbuhan terpantas sejak 2014

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara yang mencatat pertumbuhan ekonomi bagi suku ketiga tahun 2017 terpantas di rantau Asia dan mengatasi negara maju, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, ia berdasarkan prestasi ekonomi negara bagi Suku Ke-3 2017 dikeluarkan Jabatan Perangkaan yang menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia mencatatkan pertumbuhan 6.2 peratus, menjadikan pertumbuhan KDNK kepada 5.9 peratus.

"Pertumbuhan ekonomi suku tahunan ini antara yang terpantas di rantau Asia iaitu lebih pantas daripada Singapura, Indonesia, Korea Selatan dan Taiwan.

"Ia juga lebih pantas daripada negara maju seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan United Kingdom," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata, pertumbuhan pantas itu dipengaruhi pelbagai faktor antaranya permintaan domestik yang memberangsangkan dan pemulihan pada sektor luaran.

Katanya, aktiviti ekonomi yang meningkat di dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian adalah penggerak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga.

"Tidak mengejutkan apabila penggunaan swasta (pertumbuhan 7.2 peratus) mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak tahun 2015.

"Ini menunjukkan keyakinan pengguna semakin meningkat dan rakyat Malaysia lebih selesa untuk berbelanja dengan pendapatan yang meningkat dan jangkaan peningkatan yang lebih tinggi di masa hadapan," katanya.

Abdul Rahman berkata, beliau gembira dengan pertumbuhan pembentukan modal tetap kasar (PMTK) atau pelaburan yang kekal stabil pada 6.7 peratus dengan pelaburan sektor swasta terus berkembang manakala pelaburan sektor kerajaan kembali meningkat dalam suku tahunan ini.

Katanya, perbelanjaan pembangunan berjumlah RM46 bilion yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2018 dan projek infrastruktur mega akan terus menyokong ekonomi dengan mencipta lebih banyak pekerjaan untuk rakyat.

"Sememangnya Malaysia berada di landasan yang betul seperti disahkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) yang menyemak semula pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih dua kali tahun ini.

"Prestasi ekonomi yang memberangsangkan tidak bermakna sekiranya ia tidak memberi manfaat kepada rakyat. Pertumbuhan ekonomi yang kukuh akan mencipta lebih banyak pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan menambahbaik kesejahteraan dan kualiti hidup mereka," katanya.

Berita Harian X