Jumaat, 17 November 2017 | 6:28pm

Media Prima rai anak kakitangan cemerlang

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (MPB) hari ini menyampaikan penghargaan kepada 46 anak kakitangannya yang cemerlang dalam peperiksaan.

Anugerah Kecemerlangan Akademik 2016 itu diberikan kepada 10 murid yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR); Pentaksiran Tingkatan Tiga atau PT3 (21); tiga pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 12 dalam peperiksaan akhir tahun.

Mereka menerima piala dan hadiah wang tunai.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan MPB, Tan Sri Ismee Ismail; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid; Ketua Pegawai Operasi Big Tree Outdoor, Mohd Shukor Ariffin dan Ketua Pegawai Komersial The New Straits Times Press (NSTP), Alfian Talib.

Turut hadir, Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Sumber Manusia MPB, Nor Arzlin Redzwan.

Ismee dalam ucapannya berkata, ibu bapa adalah penentu kejayaan dan menjadi pendorong utama dalam segala aspek anak-anak.

"Kita di MPB bukan saja memberikan galakan kepada kakitangan untuk memajukan diri dalam kerjaya tetapi juga memberikan tumpuan dan penghargaan untuk kecemerlangan anak kakitangan.

"Walaupun sibuk dengan kerjaya dan tanggungjawab, warga MPB diharap tidak mengabaikan kebajikan dan amanah bagi keluarga, kerana keluargalah yang akan tetap bersama kita sepanjang hayat," katanya.

Majlis sama turut meraikan tiga daripada 46 pelajar itu sebagai Tokoh Pelajar di atas kecemerlangan masing-masing dalam UPSR, PT3 dan SPM.

Mereka adalah J Preeteeba, 13 untuk peperiksaan UPSR; Ahmad Majdi Muhamad Amin, 14 bagi PT3 dan Mohd Safwan Mohd Zamri, 18 yang cemerlang dalam SPM.

PENGERUSI Kumpulan MPB, Tan Sri Ismee Ismail bersama Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid; Ketua Pegawai Operasi Big Tree Outdoor, Mohd Shukor Ariffin dan Ketua Pegawai Komersial The New Straits Times Press (NSTP), Alfian Talib bergambar dengan penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik 2016 di Balai Berita NSTP. - Foto Salhani Ibrahim
Berita Harian X