Rabu, 8 November 2017 | 10:31pm
KERAJAAN bercadang membenarkan perjanjian laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak dibuka kepada syarikat penerbangan komersial. - Foto fail

Penerbangan luar bandar terbuka kepada syarikat lain

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang membenarkan perjanjian laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak dibuka kepada syarikat penerbangan komersial.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata perjanjian itu bagaimanapun tertakluk dengan syarat yang ditetapkan kerajaan, termasuk tidak menyediakan subsidi kepada syarikat penerbangan yang memohon menyediakan perkhidmatan penerbangan di laluan itu.

"Kerajaan tidak ada halangan berhubung perkara itu, dan syarikat penerbangan komersial yang berminat perlu membuat permohonan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

"Ketika ini, RAS ditender kepada MASWings yang mendapat suntikan subsidi kerajaan. Sebagai kerajaan, janji kita untuk menjamin kepentingan orang luar bandar memiliki hak penerbangan.

"Itu punca kenapa kita tidak membuka RAS kepada penerbangan komersial, sebelum ini," katanya ketika penggulungan Bajet 2018, kementeriannya, di Dewan Rakyat, malam ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Julian Tan Kok Ping (DAP-Stampin) sama ada kerajaan bercadang menurunkan harga tiket penerbangan, yang didakwa mahal dan membebankan pengguna untuk semua jenis penerbangan ke Sabah dan Sarawak.

Wakil rakyat yang turut menyuarakan persoalan isu sama ialah Alice Lau (DAP-Lanang).

Tiong Lai berkata, kerajaan memerlukan jaminan syarikat penerbangan yang bercadang mengalih alih RAS untuk memastikan kepentingan dan hak rakyat tidak diabaikan.

Katanya, kerajaan juga perlu bersikap adil kepada MASWings dalam isu berkenaan kerana syarikat penerbangan tempatan itu menawarkan kadar tambang dengan kadar siling ditetapkan kerajaan.

"Kalau AirAsia bercadang ambil alih laluan RAS, kena ada jaminan dan pelan jangka sederhana supaya laluan ini dijaga dengan baik," katanya.

Berhubung isu tiket penerbangan mahal melebihi RM200 sehala untuk laluan penerbangan tertentu, Tiong Lai berkata, pihaknya sudah mengarahkan MAVCOM menjalankan siasatan untuk menyelesaikan masalah itu.

"Buat masa ini, tiada jawapan kerana siasatan dan kajian sedang dilakukan," katanya.

Berita Harian X