Selasa, 7 November 2017 | 2:14pm

E-mel lebihan bayaran cukai helah sindiket penipuan - LHDN

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak pernah menghantar e-mel meminta butiran akaun bank bagi tujuan membayar amaun cukai terlebih bayar kepada orang ramai.

Sebaliknya, e-mel yang diterima orang ramai itu adalah modus operandi sindiket penipuan yang mahu mendapatkan maklumat peribadi, khususnya akaun bank penerima.

Menerusi e-mel yang memaparkan logo LHDN dan agensi perbankan serta menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaganya, penerima diarahkan untuk menekan satu 'link' atau pautan untuk mendapatkan bayaran balik.

Penerima e-mel kemudian diminta mengikut arahan disediakan, antaranya mendedahkan butiran akaun bank, kononnya bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dibuat LHDN. 

LHDN dalam kenyataannya, berkata agensi itu tidak pernah menghantar apa-apa e-mel meminta pembayar cukai, mendedahkan nombor akaun masing-masing.

Katanya, LHDN boleh mendapatkan sendiri maklumat akaun bank pembayar cukai menerusi perisytiharan dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan yang dibuat setiap tahun.

"Lebihan bayaran balik cukai pendapatan (jika ada) yang berjaya diproses akan dikreditkan terus oleh LHDN ke akaun bank pembayar cukai menerusi pindahan dana elektronik (EFT), Baucar Bayaran Balik Cukai (BBBC), cek berpalang atau pindahan menerusi telegram," kata kenyataan itu, semalam.

LHDN menasihatkan penerima e-mel berkenaan untuk memeriksa ketulenannya, dengan membuat semakan terhadap domain digunakan pengirim.

"Setiap e-mel rasmi LHDN akan menggunakan domain @hasil.gov.my. Orang ramai dilarang mematuhi arahan dalam e-mel yang menggunakan domain berlainan.

"Orang ramai juga boleh membuat pengesahan dengan LHDN melalui talian 1800-88-5436 atau talian cawangan yang boleh didapati di www.hasil.gov.my.

"LHDN akan sentiasa memantau sindiket penipuan ini. Orang ramai yang terpedaya, diminta membuat laporan pada pihak berkuasa untuk siasatan dan diambil tindakan sewajarnya," katanya.

Berita Harian X