Isnin, 6 November 2017 | 7:41pm
MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. - Foto BERNAMA

Lebih peruntukan bajet mengurus pemangkin ekonomi negara

 

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan mengurus sebanyak RM234.25 bilion yang diperuntukan dalam Bajet 2018 bukan semuanya digunakan untuk membayar gaji dan pencen penjawat awam.

 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata dari jumlah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jumlah untuk membayar gaji dan pencen penjawat awam kira-kira 37 peratus.

 

Beliau berkata, meskipun peruntukan perbelanjaan mengurus meningkat setiap tahun, ia sebenarnya dibelanjakan untuk perkara lain.

 

"Dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  tidak betul. Sebenarnya, kita ada kategori lain untuk mengurus. Maksudnya, kita belanja, tetapi untuk produktiviti ekonomi negara.

 

"Ia bukan untuk gaji, malah diperuntukan untuk subsidi pendidikan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya. Itu semua termasuk dalam bajet mengurus.

 

"Kemudian, ada satu lagi komponen dalam perbelanjaan mengurus yang dipanggil pembayaran hutang. Contohnya, bila kita bina Transit Aliran Massa (MRT), walaupun dilihat sebagai pembangunan, tetap kita tidak masukkan dalam bajet pembangunan kerana projek MRT, LRT (Transit Aliran Ringan), ECRL (Laluan Kereta Api Pantai Timur) ialah dana infrastruktur. Dana itu dipinjam untuk pembinaan infrastruktur," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Bajet 2018 di Balai Berita di sini, hari ini.

 

Pengarang Bersekutu Ehwal Semasa BH, Kadir Dikoh dan wartawan New Straits Times (NST), Lidiana Rosli bertindak sebagai moderator.

 

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, walaupun diperuntukan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, tetapi sebenarnya banyak komponen dalam bajet mengurus yang boleh dikategorikan sebagai pemangkin kepada ekonomi masa depan, meskipun ada pihak melabel bajet itu tidak masuk akal.

 

Menerusi peruntukan perbelanjaan mengurus itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga menyalurkan geran per kapita dalam bentuk tunai kepada kerajaan negeri yang termaktub dalam perlembagaan.

 

"Jadi, bila kita hantar duit ini kepada kerajaan negeri, besar kemungkinan mereka guna duit ini untuk bina jeti, jalan dan infrastruktur lain di negeri masing-masing.

 

"Adakah kita anggap geran itu sebagai perbelanjaan mengurus atau pembangunan? Pada saya, itu termasuk dalam kategori pembangunan.

 

"Kalau di negara lain, apa yang Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka masukkan dalam kategori pembangunan negara. Tidak di Malaysia kerana semua itu syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.

 

Beliau berkata, banyak maksud yang perlu dijelaskan mengenai perbelanjaan mengurus supaya rakyat tidak keliru. 

Berita Harian X