Isnin, 6 November 2017 | 11:30am

77,926 calon duduki SPM di Selangor

KLANG: Seramai 77,926 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di 492 pusat peperiksaan di Selangor, bermula pagi ini hingga 4 Disember depan.

Pengarah Pelajaran Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 2, 383 atau 3.15 peratus berbanding jumlah calon tahun lalu, iaitu 75,543 calon.

"Daripada jumlah itu, 226 calon pelajar berkeperluan khas di seluruh Selangor meliputi calon bermasalah pembelajaran, penglihatan (buta), bermasalah pelbagai, pertuturan, penglihatan (rabun) dan fizikal.


PENGARAH Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim pada sidang media selepas meninjau calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang. - Foto Faiz Anuar

"Daerah Petaling Perdana, mencatatkan calon tertinggi menduduki SPM 2017 iaitu 14,995 pelajar diikuti Hulu Langat, 14,123 dan Klang dengan 13,353 pelajar serta Gombak dengan 11,030 pelajar.

"Ini bilangan sekolah di dalam daerah itu mencatatkan jumlah pelajar ramai dan sekolah yang ramai calon.

"Seramai 5,684 ketua pengawas, timbalan ketua pengawas, pengawal dan penyelia peperiksaan terbabit sepanjang peperiksaan ini," katanya selepas membuat pemantauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru di sini, pagi ini.

Mohd Salleh berkata, SMK Meru antara sekolah yang mempunyai ramai calon menduduki SPM tahun ini iaitu seramai 710 membabitkan tiga pusat dibuka di sekolah ini.

"Setiap tahun, Klang mempunyai jumlah paling ramai menduduki SPM dan, setakat ini lima calon hospital yang juga menduduki SPM di daerah ini," katanya.

Sementara itu katanya, seramai 18,420 calon menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), bermula hari ini hingga 14 Disember nanti, termasuk 13 calon berkeperluan khas di negeri ini.

"Bagi peperiksaan STPM, ada empat sesi membabitkan 214 pusat di seluruh Selangor.

"Empat sesi ini membabitkan calon baharu dan juga calon mengulang," katanya.

Mengulas mengenai persediaan bencana pula katanya, Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

"Alhamdulillah syukur, Selangor tiada sebarang masalah dan bencana setakat ini, bagaimanapun pihak jabatan sentiasa mengaktifkan bilik gerakan bencana seperti banjir, ribut dan air pasang besar.

"Bukan setakat untuk peperiksaan tetapi apabila dapat arahan dan amaran, bilik gerakan diaktifkan.

"Saya harap semua pihak sentiasa berwaspada. Berkat doa ibu bapa dan semua, hari ini cuaca baik untuk calon SPM," katanya.

SERAMAI 710 calon menjawab kertas 1 Bahasa Melayu semasa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X