Isnin, 6 November 2017 | 9:08am
CALON SPM Sekolah Menengah Sultan Ismail menunggu kertas soalan dengan penuh sabar di dalam dewan sebelum peperiksaan Bahasa Melayu kertas satu bermula pagi ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
CALON SPM Sekolah Menengah Sultan Ismail menunggu kertas soalan dengan penuh sabar di dalam dewan sebelum peperiksaan Bahasa Melayu kertas satu bermula pagi ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

55,673 calon SPM di Johor

JOHOR BAHRU: Seramai 55,673 calon membabitkan 292 sekolah seluruh Johor menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini sehingga 4 Disember nanti.

Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif, berkata daripada jumlah itu, seramai 48,848 adalah calon Sekolah Kerajaan, 742 calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), 99 calon Sekolah Agama Kerajaan Negeri, 4,144 calon sekolah swasta dan 1,840 calon persendirian.

Katanya, daerah ini mencatat bilangan calon paling ramai iaitu 11,128, diikuti Pasir Gudang (9,497), Batu Pahat (6,895), Kulai (5,479), Kluang (5,004), Muar (4,452), Pontian (3,236), Segamat (3,141), Kota Tinggi (2,965), Tangkak (2,519) dan Mersing (1,357).

"Tahun ini, sebanyak 378 Pusat Peperiksaan dibuka membabitkan 3,787 petugas, 129 penyelia kawasan, 378 ketua pengawas dan 3,280 pengawas peperiksaan.

CALON SPM Sekolah Menengah Sultan Ismail menunggu kertas soalan dengan penuh sabar di dalam dewan sebelum peperiksaan Bahasa Melayu kertas satu bermula pagi ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Kita turut melantik 24 Ketua Pengawas yang akan bertugas di 24 hospital kerajaan dan swasta di Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shaharudin berkata, tujuh calon menduduki peperiksaan sebagai calon tahanan di Sekolah Menengah Integriti, Kluang dan sembilan lagi di Sekolah Menengah Integriti, Muar yang juga calon persendirian.

"Bagi Calon Berkeperluan Khas seperti calon kurang upaya penglihatan (rabun), pendengaran, pertuturan, fizikal dan sebagainya, mereka akan menerima pelbagai kemudahan ketika menduduki peperiksaan antaranya penambahan masa, kertas soalan Braille, juru baca atau bilik berasingan.

"Jumlah calon berkeperluan khas Johor ialah 134 orang dan Jabatan Pendidikan Johor menyediakan petugas merangkumi guru yang mempunyai kepakaran dengan cara pengendalian calon ini," katanya.

Katanya, jabatan turut membuat persediaan menghadapi banjir jika berlaku dengan mengeluarkan surat dan pekeliling bil 1/2001 (Operasi Payung) kepada semua pengetua sekolah di Johor. 

"Semua sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah sudah mewujudkan jawatankuasa banjir dan pihak jabatan juga mendapat kerjasama badan kerajaan seperti Jawatankuasa Banjir Tempatan, Jabatan Keselamatan Negeri, polis, bomba dan sebagainya untuk memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan," katanya.

Berita Harian X