PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi bercadang memperluaskan program pengajian dalam bidang kejuruteraan rel di universiti tempatan, sejajar dengan kepesatan pembangunan industri berkaitan di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata hasrat kerajaan untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Rel Negara seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2018 membuktikan industri berkenaan semakin mendapat perhatian dan lebih ramai tenaga mahir perlu dilahirkan dalam bidang itu.
"Ketika ini, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mempunyai pengkhususan bagi program teknologi rel. Kita akan melihat perkara ini dan akan diselaraskan," katanya.
Idris berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, hari ini.
Perjanjian ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Darwis Abdul Razak; Pengarah Urusan Eksekutif China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd, Bai Yinzhan dan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.
Idris berkata, seramai 300 lagi graduan lepasan ijazah sarjana muda, diploma, sijil kemahiran dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan mengikuti program PLKI-ECRL bulan depan selama tiga bulan di UMP, bagi mencapai sasaran 3,600 pelatih program itu menjelang 2022.
"Seramai 50 graduan sudah pun memulakan latihan program ini pada 25 September lalu dan bagi pengambilan Disember, MRL akan menjalankan temuduga di Bachok, Kelantan pada 8 dan 9 November serta di Kuala Terengganu, Terengganu pada 14 dan 15 November," katanya.
Pelatih PLKI-ECRL mendapat tajaan biasiswa sepenuhnya dari CCCC berjumlah RM23 juta, yang akan memfokuskan kepada latihan kemahiran dalam kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrik bagi pembinaan rel.
Program itu dikelolakan UMP dengan kerjasama Universiti Beijing Jiaotong dan Universiti Southwest Jiaotong, China dalam pembangunan modul latihan.