Khamis, 2 November 2017 | 5:05pm
PENGERUSI GABEM, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik hadir pada majlis perasmian Program PSG anjuran GABEM dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Johor di Pekan Rabu, Kluang, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim
PENGERUSI GABEM, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik hadir pada majlis perasmian Program PSG anjuran GABEM dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Johor di Pekan Rabu, Kluang, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim

Mahu lebih ramai Bumiputera jadi usahawan

KLUANG: Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) berjumpa dengan lebih 9,000 usahawan, di seluruh negara menerusi Pusat Sehenti Gabem (PSG), sejak dilancarkan dua tahun lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik, berkata 21 siri jelajah diadakan termasuk berjumpa penuntut universiti bertujuan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam bidang keusahawanan.

Katanya, ia dilakukan bagi membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera pada tahap 30 peratus menjelang 2020.

"GABEM berperanan sebagai fasilitator bersama beberapa kementerian atau agensi kerajaan berkaitan keusahawanan di bawah satu bumbung untuk memberi perkhidmatan kepada usahawan dan bakal usahawan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program PSG anjuran GABEM dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Johor di Pekan Rabu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GABEM, Datuk Mohammed Izat Hassan; Pengarah RISDA Johor, Daman Huri Toha dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Norhalim Md Amin.

Rahim berkata, kementerian atau agensi kerajaan akan memberi nasihat, peluang latihan, kemudahan pembiayaan perniagaan, ceramah berkaitan keusahawanan dan pendedahan kaedah perniagaan dalam talian.

Katanya, kini pihaknya dalam perancangan meneruskan PSG ke Gerik, Perak dan Sik, Kedah, bulan ini.

"GABEM tidak mahu Bumiputera terpinggir dan jurang ekonominya jauh dengan bukan Bumiputera. Justeru, GABEM turun padang menjadi pemudah cara untuk menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan.

"Apa yang penting usahawan Bumiputera perlu berdaya saing dan menanamkan sikap disiplin untuk berjaya dan mampu meluaskan pasaran di peringkat tempatan dan global," katanya.

Berita Harian X