Khamis, 2 November 2017 | 2:38pm

Pengurangan cukai beri manfaat 261,000 pembayar

KUALA LUMPUR: Pengurangan kadar cukai pendapatan dalam Bajet 2018 memberi manfaat kepada 261,000 rakyat.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Noor Azian Abdul Hamid, berkata ia sedikit sebanyak meningkatkan pendapatan boleh guna khususnya, bagi kumpulan pendapatan pertengahan (M40) serta menangani isu kenaikan kos sara hidup.

"Pada masa sama, ekonomi negara terus diperkasakan jika penjimatan berkenaan dibelanjakan semula pembayar cukai terbabit.

"Ia menyumbang secara signifikan kepada hasil negara bagi memastikan kerajaan mendapat pulangan untuk dibelanjakan mengikut keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi soal jawab 'Cadangan Bajet 2018' pada Seminar Percukaian Kebangsaan 2017, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Khodijah Abdullah dan Presiden Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM), Seah Siew Yun.

Selain itu, Noor Azian berkata, LHDN komited bagi memainkan peranannya untuk memantau penguatkuasaan dan pendidikan cukai yang berkesan.

Katanya, ia penting bagi memastikan hasil kerajaan terus terpelihara.

"Ia juga memastikan pembayar cukai yang lain membayar jumlah cukai yang sepatutnya mengikut perundangan percukaian," katanya.

Berita Harian X