Rabu, 1 November 2017 | 5:37pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melawat tempat proses rawatan air LRA Pokok Sena di Jabi. - Foto Sharul Hafiz Zam

LRA Pokok Sena tangani masalah air

POKOK SENA: Datuk Seri Najib Razak meninjau projek Loji Rawatan Air (LRA) Pokok Sena di Kebun 500, di sini, yang dibangunkan khusus untuk mengatasi masalah bekalan air di kawasan ini.

Perdana Menteri meluangkan masa hampir sejam, termasuk mendengar taklimat mengenai loji bernilai RM68 juta itu yang dijangka siap sepenuhnya pada 15 November ini.

Taklimat mengenai perkembangan LRA itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Abdul Ghani Zainuddin.

Perdana Menteri diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

LRA Pokok Sena dibangunkan Kerajaan Persekutuan di atas tapak berkeluasan 2.2 hektar dengan kapasiti penghasilan 30 juta liter air sehari.

Dengan kapasiti itu, penduduk tidak perlu lagi bergantung kepada LRA Bukit Pinang, yang turut menyalurkan bekalan kepada penduduk sekitar Alor Setar.

LRA Pokok Sena dianggap sebagai pemangkin utama dalam usaha kerajaan menyelesaikan masalah bekalan air kepada 63,000 penduduk di sekitar Pokok Sena, utara Pendang dan selatan Padang Terap, terutamanya di kawasan bertekanan rendah.

Terdahulu ketika berucap sempena majlis perjumpaan bersama penjawat awam negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini, Perdana Menteri menyatakan komitmen beliau untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang menjadi isu utama bagi rakyat Kedah.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, projek LRA Pokok Sena kini di peringkat akhir, dengan melakukan ujian pematuhan piawaian Kementerian Kesihatan.

"Dengan beroperasinya projek ini, SADA kini mempunyai 35 LRA dengan kemampuan menyalurkan 1,274 juta liter bekalan air sehari.

"SADA mempunyai rekod 578,000 akaun membabitkan 519,000 akaun domestik dan bakinya bukan domestik," katanya.

Berita Harian X