Rabu, 1 November 2017 | 4:45pm
EKSEKUTIF Kanan Zakat PPZ- MAIWP, Abdul Basar Abdullah Hassim ketika menerangkan tentang potongan zakat melalui potongan gaji kepada kakitangan kerajaan Mohd Radi Omar, 35 semasa Kempen Khas Hebahan Zakat Kaunter Zakat Bergerak PPZ-MAIWP di Galeria PJH Putrajaya.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor
EKSEKUTIF Kanan Zakat PPZ- MAIWP, Abdul Basar Abdullah Hassim ketika menerangkan tentang potongan zakat melalui potongan gaji kepada kakitangan kerajaan Mohd Radi Omar, 35 semasa Kempen Khas Hebahan Zakat Kaunter Zakat Bergerak PPZ-MAIWP di Galeria PJH Putrajaya.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PPZ-MAIWP turun padang hebah kepentingan berzakat

PUTRAJAYA: Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) menggunakan pelbagai pendekatan termasuk program turun padang untuk membuat hebahan bagi meningkatkan kesedaran pentingnya membayar zakat kepada golongan sasar.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Mohd Rais Alias, berkata program turun padang itu bertujuan menyampaikan maklumat mengenai kemudahan yang disediakan dan mengajak orang ramai menyegerakan pembayaran zakat.

Pada masa sama katanya, PPZ-MAIWP ingin memperkenalkan kaunter zakat bergerak yang kini berada di 10 lokasi tetap di Wilayah Persekutuan yang menyediakan perkhidmatan seperti di kaunter pusat pungutan zakat.

"Orang ramai boleh datang ke kaunter zakat bergerak ini untuk mendapatkan maklumat, membuat pengiraan dan melunaskan pembayaran. Inilah cara kita mendekatkan masyarakat kepada PPZ-MAIWP dan menarik perhatian golongan pembayar zakat baharu.

"Malah, pihak yang berminat boleh menghubungi kami untuk memohon supaya kaunter zakat bergerak datang ke lokasi mereka," katanya kepada BH pada Kempen Khas Hebahan Zakat Bergerak PPZ-MAIWP di Kaunter Zakat Bergerak, Galeria PJH, Putrajaya di sini, hari ini.

PPZ-MAIWP bekerjasama dengan BH melalui penyiaran rencana mengenai kepentingan membayar zakat untuk memberi kesedaran kepada umat Islam memenuhi tanggungjawab melaksanakan rukun Islam ketiga.

Melalui kerjasama itu, PPZ-MAIWP mengedarkan 5,000 naskhah BH secara percuma di tiga kawasan, iaitu Putrajaya, Damansara dan sekitar Kuala Lumpur serta Cheras.

Mengenai kerjasama itu, Mohd Rais berkata, ia adalah strategi baharu untuk menyebarkan maklumat melalui media mengenai hikmah membayar zakat kerana dalam setiap harta milik umat Islam 2.5 peratus adalah hak asnaf yang perlu diberikan kepada mereka.

"Kita berharap rencana yang disiarkan itu dapat meningkatkan kesedaran umat Islam yang secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah pembayar dan kutipan bakal terkumpul untuk disalurkan kepada golongan memerlukan demi kemaslahatan ummah," katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Raja Teena Rosdin, 38, yang ditemui di kaunter zakat bergerak mengalu-alukan usaha PPZ-MAIWP turun pandang bagi mendekati dan menyalurkan maklumat secara terus kepada masyarakat umum.

Katanya, kesediaan pihak berkenaan membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan umat Islam yang masih tidak jelas mengenai cara perkiraan zakat dan mendorong mereka melaksanakan tanggungjawab yang difardukan.

"Ada yang tidak berkesempatan untuk pergi ke pejabat zakat, jadi dengan adanya kaunter bergerak ini memudahkan mereka membuat urusan berkaitan zakat.

"Cara ini juga boleh menggalakkan orang ramai untuk berzakat dan membantu golongan memerlukan," katanya.

Berita Harian X