Rabu, 1 November 2017 | 9:43am
NAJIB Razak diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersalam dengan orang ramai ketika hadir pada program Walkabout Gerai Ikan Temenong Meletop dan Pasar Nelayan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah. - Foto Amran Hamid
NAJIB Razak diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersalam dengan orang ramai ketika hadir pada program Walkabout Gerai Ikan Temenong Meletop dan Pasar Nelayan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah. - Foto Amran Hamid

PM manfaat lawatan ke Kedah

ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Razak tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, pagi ini untuk lawatan sehari ke Kedah dengan jadual pengisian program yang padat sepanjang hari.

Tiga kawasan Parlimen menjadi tumpuan utama kunjungan Perdana Menteri ke Kedah kali ini iaitu Kuala Kedah, Alor Setar dan Pokok Sena.

Berdasarkan jadual, beliau akan memulakan lawatan dengan program tinjauan mesra di sekitar Kampung Seberang Kota di Kuala Kedah, dekat sini, untuk meluangkan masa bertemu golongan nelayan, pesawah dan petani.

Dua lokasi yang dijadual disinggahi di Kuala Kedah ialah Gerai Termenung Meletop yang terkenal dengan menu ikan kembung goreng panas serta pasar nelayan Kampung Seberang Kota, yang menjadi antara nadi penggerak ekonomi warga tani di kawasan Parlimen ini.

Perdana Menteri kemudian akan ke Stadium Sultan Abdul Halim di Jalan Suka Menanti di sini, untuk menghadiri perjumpaan bersama golongan penjawat awam Kedah.

Petang ini, beliau akan meluangkan masa meninjau Loji Rawatan Air (LRA) milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Pokok Sena, dekat sini, yang dibangunkan Kerajaan Persekutuan dengan kos RM68 juta.

LRA Pokok Sena di mukim Jabi dianggap pemangkin utama dalam usaha kerajaan menyelesaikan masalah bekalan air kepada 63,000 penduduk di sekitar Pokok Sena, utara Pendang dan selatan Padang Terap, terutamanya di kawasan yang mempunyai tekanan rendah.

Dengan kapasiti menampung bekalan 30 juta liter sehari, penduduk tidak perlu lagi bergantung kepada LRA Bukit Pinang, yang turut menyalurkan bekalan kepada penduduk sekitar Alor Setar.

Najib dijadual menyampaikan bantuan musim tengkujuh kepada golongan pekebun kecil yang terjejas, selain sumbangan Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) melalui Program Bersama Rakyat di Dataran KEDA, dekat sini.

Malam ini, beliau yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perjumpaan tertutup bersama Badan Perhubungan UMNO dan BN Kedah di Hotel Grand Alora, di sini, sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Berita Harian X