Isnin, 30 Oktober 2017 | 6:49pm
BUDIMAN Mohd Zohdi. - Foto Shazreen Zamzuri
BUDIMAN Mohd Zohdi. - Foto Shazreen Zamzuri

Elak ketirisan baucar buku RM250

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disaran bekerjasama dengan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) untuk mengenal pasti senarai penerbit yang layak menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) daripada pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Dasar Buku Negara, Budiman Mohd Zohdi, berkata perkara itu penting bagi mengelak ketirisan BB1M seperti berlaku sebelum ini.

"Kedua-dua pihak perlu pemantauan khusus oleh pelaksana pemberian BB1M pada 2018, iaitu "jerung baucar" dan pelajar penerima baucar.

"Realitinya sejak pemberian baucar pada 2012, BB1M tidak diimbal secara total kepada industri buku kerana berlaku ketirisan yang membolehkan pelajar membeli barangan lain (bukan buku) atau ditukar menjadi tunai RM250," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Budiman yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, berkata perkara itu lebih teruk apabila pelaksanaan Kad Debit-i Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M Debit-i) pada 2017 yang membolehkan pelajar mengeluarkan tunai RM250 dari mesin ATM, tanpa perlu membeli buku.

"Menurut statistik daripada penerbit buku, pembelian buku melalui KADS1M tidak sampai 10 peratus. Malah, jualan buku pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 April lalu terendah pernah dicatatkan oleh semua penerbit buku tempatan dalam 10 tahun kebelakangan ini," katanya.

Budiman yakin kerjasama erat antara KPT, MABOPA, institusi pendidikan tinggi (IPT), sekolah dan pelajar akan mendatangkan manfaat besar kepada semua pihak.

"Setiap buku yang dibeli, ia memanfaatkan penerbit dan penulis. Setiap buku yang dibaca, ia mengintelektualkan pelajar. Setiap buku yang difahami, ia memandaikan akal budi bangsa Malaysia.

"Menuju TN50, kita wajar membangunkan pelajar menerusi tapisan kendiri selain membina budaya etika wibawa dengan menolak perlakuan yang boleh mendorong kepada ketirisan baucar ini," katanya.

Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada 1.2 juta pelajar IPT dan tingkatan enam.

"Berita ini menggembirakan penggerak buku tanah air, tambahan pula ia meliputi majalah, komik, jurnal dan terbitan berkala akan diberikan layan GST berkadar sifar bermula 1 Januari 2018.

"Namun semoga pihak kerajaan turut mempertimbangkan penerbitan buku digital (e-buku) diklasifikasikan dalam GST sifar," katanya.

Berita Harian X