Ahad, 29 Oktober 2017 | 1:54pm
DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri sekali) menyiram pokok durian Musang King atau Durian Kunyit ke 500,000 di Kluster Durian Raub, di Kampung Pamah Rawas, Raub, di sini, hari ini. - Foto Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman.

Musang King elak Singapura menuju China

RAUB: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani optimis, China akan menjadi negara pengimport terbesar durian Musang King dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata usaha mengeksport secara terus Musang King atau Durian Raja Kunyit (D197) menembusi pasaran China, dapat melonjakkan pendapatan 80,000 pengusaha durian di seluruh negara.

Beliau berkata, ketika ini, durian Musang King keluaran pekebun tempatan dieksport ke China menerusi negara ketiga seperti Singapura dan Hong Kong, menyebabkan harga jualan di pasaran negara itu mencecah ratusan ringgit sekilogram.

Justeru, katanya, usaha mengeksport secara terus durian Musang King serta pelbagai jenis durian yang didaftarkan di bawah Jabatan Pertanian, sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika Bajet 2018, bahawa durian adalah sumber kekayaan baharu.

"Kita juga akan menggunakan program promosi iaitu Nanning Durian Festival di China pada 3 hingga 5 November ini, bagi meningkatkan dan memperluaskan pasaran ke negara berkenaan.

"Pada masa sama, kita minta pengusaha kebun di seluruh negara bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk mendaftarkan pokok durian masing-masing bagi memudahkan kita menandakan buah durian berkenaan.

"Kita juga akan membangunkan satu aplikasi khas bagi menandakan durian Musang King serta jenis durian lain yang dijangka siap Disember ini untuk kemudahan bagi mengeksport raja buah-buahan ke China dan negara lain pada masa akan datang.

"Durian kini dianggap sumber kekayaan baharu, maka kita perlu pastikan kualiti penanaman, pembungkusan, pelabelan dan pemasaran berada di tahap tertinggi dan ia memerlukan kerjasama semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis penanaman Musang King yang ke-500,000 di Kluster Durian Raub, di Kampung Pamah Rawas, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek dan Timbalan Pengarah Pertanian Pahang, Muhamad Yusof Sadi Sutan.

Ahmad Shabery berkata, setakat ini ada 370 pengeluar dan penanam durian di daerah Raub membabitkan keluasan tanaman 11,152.69 hektar meliputi tujuh mukim di Batu Talam, Dong, Gali, Hulu Dong, Sega dan Semantan Hulu dan Tras.

Berikutan itu, beliau berkata, daerah Raub akan menjadi pengeluar durian Musang King terbesar di negara ini, sekali gus menjadi pengeluar terbesar untuk memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.

INFO:

# Sehingga 2016, keluasan penanaman durian di Malaysia adalah seluas 66,000 hektar dengan pengeluaran sebanyak 302,000 tan meliputi 204 jenis durian.

# Nilai eksport durian pada tahun 2016 ialah RM74 juta.

# Nilai eksport durian Malaysia ke China meningkat kepada RM18 juta pada 2016 berbanding RM1.6 juta pada tahun 2012.

Berita Harian X