Sabtu, 28 Oktober 2017 | 8:31pm
NAIB Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali. - Foto Khairull Azry Bidin

Bajet 2018 ringankan beban M40

BANGI: Bajet 2018 bukan hanya memberi tumpuan pada pembangunan negara, malah mengambil kira usaha mensejahterakan ekonomi rakyat, termasuk meningkatkan pendapatan boleh guna kelompok pertengahan (M40).

Ini temasuk langkah pemotongan cukai pendapatan dua peratus bagi banjaran pendapatan bercukai RM20,000 hingga RM70,000, serta penyediaan peluang keusahawan menerusi pelbagai insiatif kerajaan.

Pakar akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyifatkan pelaksanaan pelbagai insiatif bagi menjana pendapatan rakyat itu membuktikan sifat inklusif Bajet 2018, yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, menyifatkan pemotongan cukai dan inisiatif bagi menjana pendapatan rakyat di setiap lapisan masyarakat, akan memberi impak signifikan kepada semua pihak.

Katanya, langkah pemotongan cukai misalnya akan menyebabkan 261,000 mereka yang tergolong dalam M40, tidak perlu membayar cukai.

"Inisiatif ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna M40 antara RM300 ke RM1,000.

"Ini tidak akan menjadikan mereka kaya tetapi meringankan beban dengan peningkatan pendapatan boleh guna keluarga. Ada impak jelas," katanya pada sidang media Analisis Bajet 2018 di Bilik Mesyuarat Bitara, Fakulti Pengajian Islam UKM, di sini, hari ini.

Sidang media itu menyaksikan 10 pakar akademik UKM, termasuk Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), menganalisis bajet yang dibentangkan kerajaan, semalam.

Prof Noor Azlan berkata, langkah pemansuhan bayaran di tiga plaza tol juga bertujuan meringankan beban rakyat.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED), Prof Datin Dr Shamshubaridah Ramlee, menyifatkan bajet itu sebagai "mesra keusahawan" untuk menjana pendapatan rakyat dan melahirkan generasi usahawan.

"Jika kita lihat pada graduan, mereka adalah kumpulan sasar bagi revolusi industri keempat dan keusahawanan memainkan peranan penting dalam hal itu," katanya.

Bajet 2018 menyaksikan kerajaan melaksanakan pelbagai insiatif bagi menyediakan peluang keusahawanan, antaranya melalui RM100 juta bagi program eRezeki, eUsahawan dan eLadang MDEC serta RM60 juta untuk progfam 1AZAM.

Kerajaan juga menyediakan kemudahan RM120 juta melalui Bank Rakyat untuk mana-mana pihak mengusahakan foodtruck dan geran RM5,000 untuk khidmat e-hailing.

Bagaimanapun, pakar akademik UKM juga berpendapat pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu distrukturkan semula bagi mengelakkan wujudnya golongan yang hanya berharap pada bantuan kebajikan.

"BR1M boleh diteruskan untuk kelompok warga emas atau kelompok kurang upaya," kata pakar ekonomi UKM, Prof Madya Dr Mohd Azlan Shah Zaidi.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita (PKW) UKM, Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak, menyifatkan Bajet 2018 sebagai bajet unik dan inklusif untuk rakyat.

Beliau merujuk kepada pelaksanaan Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM) 2050 bagi setiap bayi yang lahir di antara 2018 dan 2022; cuti bersalin 90 hari; pengecualian balik awal bagi wanita mengandung lima bulan dan RM250 juta pendidikan generasi TN50 bagi melahirkan modal insan berkualitu pada 2050.

Berita Harian X