Sabtu, 28 Oktober 2017 | 5:00pm
NOOR Azmi (tengah) selamat tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford selepas berjaya menamatkan misi kayuhan basikal merentasi lapan negeri. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
NOOR Azmi (tengah) selamat tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford selepas berjaya menamatkan misi kayuhan basikal merentasi lapan negeri. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
NOOR Azmi (tengah) tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford setelah berjaya menamatkan misi kayuhan basikal merentasi lapan negeri. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
NOOR Azmi (tengah) tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford setelah berjaya menamatkan misi kayuhan basikal merentasi lapan negeri. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Warga emas takluk 8 negeri

KUALA KANGSAR: Berdepan cuaca panas terik dan kemungkinan ancaman haiwan liar termasuk gajah antara cabaran dilalui warga emas dalam misinya menamatkan kayuhan basikal merentasi lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

Noor Azmi Abd Karim, 63, melaksanakan misi berbasikal secara solo itu bermula di Kuala Kangsar pada 1 Oktober lalu, merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Johor sebelum kembali ke utara melalui negeri Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, dan ke Perak dan berakhir hari ini, membabitkan jarak sejauh 1,750 kilometer.

Ketibaannya disambut dua rakan kayuhan, Muhd Nabil Nazri, 15, dan Abdul Razak Zainuddin, 74, yang mengiringinya dari Sungai Siput sebelum tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini dengan disambut beberapa bekas rakan sekolahnya jam 1 tengah hari tadi.

Noor Azmi berkata, beliau bersyukur kerana tidak terserempak dengan binatang buas khususnya ketika melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di kawasan Banjaran Titiwangsa.

Datuk kepada empat cucu itu berkata, beliau menjalani latihan selama dua bulan sebelum memulakan misi kayuhan kerana menyedari ia sangat memerlukan kekuatan stamina, terutama ketika melalui trek kayuhan di kawasan berbukit khususnya di Titiwangsa yang memaksanya melalui trek berbukit sepanjang 74 kilometer.

"Berbanding misi pada tahun lalu yang memerlukan saya berkayuh sehala dari sini hingga ke Johor Baharu membabitkan jarak sejauh 800 kilometer, misi kali ini bertambah sukar apabila terpaksa menempuhi jalan kampung yang agak sunyi dan tidak biasa dilalui khususnya di negeri pantai timur.

"Alhamdulillah perjalanan saya lancar termasuk keadaan basikal yang tidak menimbulkan sebarang masalah seperti pancit dan putus rantai, selain kesihatan saya yang berada dalam keadaan baik biarpun sentiasa terdedah dengan cuaca panas sewaktu kayuhan," katanya ketika ditemui sejurus tiba di sini, hari ini.

Noor Azmi berkata, biarpun mulanya mendapat tentangan keluarga yang bimbangkan keselamatannya, namun beliau tetap berkeras ingin melaksanakan kayuhan itu atas dasar menjadikan berbasikal sebagai hobi yang sekali gus dapat menjaga kecergasan dan kesihatan khususnya jantung selain didorong sikap memberi kesedaran mengenai kesihatan selain mengeratkan silaturahim.

"Selain hobi, tujuan saya adalah bagi merangsang rakan sebaya dan golongan muda supaya mempunyai keyakinan tinggi dalam menghadapi sesuatu cabaran serta bergiat aktif dalam apa sahaja jenis sukan bagi menjaga kesihatan khususnya jantung yang menjadi pembunuh nombor satu di negara ini.

"Sepanjang kayuhan saya kebiasaannya akan berhenti rehat di lokasi tertentu bagi bertemu saudara-mara atau rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu, justeru dapat mengeratkan lagi silaturahim," kata pesara kerani yang pernah bekerja di bank.

Berita Harian X