Sabtu, 28 Oktober 2017 | 4:10pm
PENGERUSI BN Pulau Pinang yang juga Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
PENGERUSI BN Pulau Pinang yang juga Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Bajet 2018 bukti Pulau Pinang tak dipinggirkan

NIBONG TEBAL: Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam, membuktikan Kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan Pulau Pinang walaupun negeri ini ditadbir pembangkang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow, berkata pengumuman kerajaan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dalam Bajet 2018 semalam, menolak dakwaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bahawa negeri itu sering dianaktirikan Kerajaan Pusat.

"Sebelum ini, difahamkan kerajaan negeri hanya menghantar surat permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi meminta bantuan untuk menaik taraf dan membesarkan LTAPP tanpa menyatakan perancangan serta pelan khusus untuk projek itu.

"Namun, Perdana Menteri akhirnya meluluskan permohonan berkenaan (naik taraf LTAPP) dalam bajet tahun depan, selain akan membina blok baharu di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Ia akan memberi banyak manfaat kepada rakyat di negeri ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali BN Pulau Pinang anjuran myPPP di Taman Seri Bestari, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Chang Yeow berkata, Pulau Pinang tidak pernah terlepas daripada menerima manfaat, termasuk menerusi pembentangan bajet terdahulu.

"Secara dasarnya, bajet yang diumumkan semalam memberi manfaat kepada semua negeri tidak kira ia diterajui BN mahupun pembangkang.

"Setiap tahun, ada peruntukan yang disalurkan dan janganlah bila tidak disebut dalam belanjawan terus tuduh kerajaan tidak bantu.

"Sebagai contoh, peruntukan projek tebatan banjir serta projek lain di negeri ini, jika tidak Kerajaan Pusat, siapa lagi yang hendak salurkan " katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan, menyifatkan Belanjawan 2018 sebagai 'bajet mesra rakyat' apabila ia dapat dinikmati semua pihak.

"Apa yang lebih menggembirakan, bajet kali ini juga adalah lebih baik untuk kaum India terutamanya dari segi meningkatkan tahap pendidikan," katanya.

Berita Harian X