Sabtu, 28 Oktober 2017 | 3:33pm
BENDAHARI Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Bajet 2018 tangani isu masyarakat India

KUALA LUMPUR: Pelbagai peruntukan diumumkan dalam Bajet 2018 untuk kaum India jelas menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu dihadapi masyarakat itu. 

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari, berkata bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, kali ini sangat komprehensif dan dilihat cuba memperbaiki serta membangunkan masyarakat India untuk berdepan pelbagai cabaran global.

Beliau berkata, terdapat lima inisiatif diumumkan kerajaan untuk masyarakat India namun antara yang penting adalah sasaran tujuh peratus penyertaan dan pendaftaran pelajar India di universiti awam dan perkhidmatan awam.

"Langkah diambil Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan jelas menunjukkan keprihatinan dan kebimbangan beliau terhadap komuniti masyarakat India.

"Kerajaan juga akan merujuk kepada Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia dalam memastikan kebajikan masyarakat serta sasaran kaum India tercapai," katanya. 

Beliau juga berkata, secara keseluruhan bajet kali ini meliputi semua spektrum termasuk kesejahteraan masyarakat India

"Setiap individu penting dan tiada siapa yang disisihkan... ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan kepada rakyat. 

Kerajaan mengumumkan sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk membantu lebih 35,000 usahawan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), di samping tambahan RM50 juta lagi untuk program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Satu inisiatif baharu yang turut diperkenalkan ialah pengagihan 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.

Berita Harian X