Jumaat, 27 Oktober 2017 | 8:25pm
HOSPITAL Tengku Ampuan Afzan (HTAA). - Foto Muhd Asyraf Sawal

Pembinaan blok baharu atasi masalah kesesakan pesakit

KUANTAN: Masalah kesesakan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sejak sekian lama akan diatasi menerusi pembinaan dua blok baharu wad wanita dan kanak-kanak seperti diumumkan dalam Bajet 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali, berkata kerajaan negeri berterima kasih di atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendengar keluhan rakyat terhadap permasalahan kesesakan pesakit dan trafik di HTAA.

"Perdana Menteri memberi respon positif terhadap permohonan kita dan saya yakin pembinaan blok baharu wad wanita dan kanak-kanak itu mampu mengurangkan kesesakan berlaku di HTAA sejak sekian lama.

"Kesesakan utama di HTAA kebanyakkannya membabitkan di wad wanita dan kanak-kanak terutama apabila berlaku kelahiran, bukan hanya perlu menampung pesakit malah pelawat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat mengumumkan pembinaan dua blok wad baharu di HTAA dan Hospital Putrajaya dengan kapasiti 300 katil setiap satu.

Pembinaan blok baharu di dua hospital berkenaan membabitkan peruntukan RM1 bilion. Pengumuman Perdana Menteri itu turut disambut baik orang ramai yang menyifatkannya sebagai usaha murni kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Seorang kerani sebuah syarikat swasta, Fatimah Mohamad, 26, dari Indera Mahkota 15, berkata sebelum ini terlalu ramai pesakit sehingga berlaku kesesakan di wad kanak-kanak yang menyebabkan katil terpaksa ditambah.

"Katil pula disusun rapat menyebabkan mereka tidak selesa dan mungkin berisiko terdedah kepada jangkitan kuman, penambahan wad dapat mengurangkan risiko berkenaan.

"Pada masa sama ia menunjukkan keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan masyarakat yang kurang berkemampuan," katanya.

Pengawal Keselamatan, Nor Fatihah Sukayri, 20, dari Balok, di sini, berkata, usaha berkenaan membuktikan kerajaan prihatin dengan isu berkaitan kesihatan, terutama dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.

"Jumlah katil bakal disediakan kerajaan di hospital itu dapat membantu melancarkan proses rawatan dan memberi keselesaan kepada pesakit," katanya.

Peniaga, Izat Ezatte Musa, 24, dari Taman Impian, berkata pembinaan wad itu penting bagi memastikan keselesaan pesakit wanita dan kanak-kanak yang semakin bertambah serta turut menitikberatkan soal aurat dan privasi pesakit.

"Kita tahu pesakit wanita, terutama beragama Islam perlu menjaga aurat. Dengan jumlah katil mencukupi, ia dapat memberi keselesaan kepada pesakit dan tidak perlu bercampur dengan pesakit lelaki.

"Kanak-kanak juga perlu diberi perhatian dengan menyediakan ruang yang bersih dan selesa bagi mengelakkan risiko dijangkiti kuman," katanya.

Berita Harian X