KUALA LUMPUR: Peruntukan RM4.9 bilion untuk melaksana pelan induk Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini mampu melahirkan lebih ramai generasi belia berdaya saing serta berkemahiran tinggi dalam sektor perkhidmatan.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa, berkata inisiatif 100 Biasiswa Pelajar Cemerlang TVET membabitkan peruntukan RM4.5 juta menerusi Bajet 2018 dapat menyuntik minat generasi muda menerokai bidang kemahiran dengan lebih berkesan.
Katanya, langkah itu membolehkan belia mengembangkan potensi dan bakat secara menyeluruh, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup serta pertumbuhan ekonomi negara jangka panjang.
"Generasi muda perlu merebut peluang disediakan sebaiknya untuk menimba pelbagai pengalaman berharga menerusi bidang kemahiran ini yang menyediakan banyak peluang pekerjaan serta pendapatan lumayan," katanya kepada BH.
Sementara itu, penubuhan 'National Rail Centre of Excellence' yang dibentangkan dalam Bajet 2018 dilihat mampu melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam industri rel negara untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Tokoh pendidikan tinggi, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata peluang itu akan menggalakkan lebih ramai pelajar di negara ini memilih bidang TVET sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga mahir dari negara luar.
"Bidang rel akan menjadi satu cabang industri utama pada masa depan dan keputusan kerajaan memberikan Biasiswa Pelajar Cemerlang TVET di bawah peruntukan RM4.5 juta akan merancakkan lagi pendidikan teknikal di negara ini," katanya.