Jumaat, 27 Oktober 2017 | 6:04pm

7 cadangan penambahbaikan GST

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggariskan tujuh cadangan bagi menambahbaik pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata cadangan pertama ialah semua pembekalan perkhidmatan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak dikenakan GST, berkuat kuasa pada 1 April 2018 atau 1 Oktober 2018, berdasarkan pilihan PBT.

Kedua, layanan GST berkadar sifar ke atas bahan bacaan, diseragam dan diperluaskan meliputi semua jenis majalah, komik, jurnal dan terbitan berkala mulai 1 Januari 2018.

Ketiga, operator kapal persiaran diberi pelepasan GST ke atas perkhidmatan pengendalian yang dibekalkan oleh operator pelabuhan di Malaysia dan pelepasan itu bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.

Keempat, pelepasan GST sepenuhnya diberikan ke atas perkhidmatan pembinaan bangunan sekolah dan rumah ibadat, yang dibiayai melalui sumbangan derma yang diluluskan.

"Pelepasan berkenaan berkuat kuasa bagi kontrak perkhidmatan pembinaan yang ditandatangani mulai 1 April 2017," katanya.

Kelima, pelepasan GST turut diberi ke atas pengimportan peralatan berkaitan industri minyak dan gas di bawah satu perjanjian pajakan, dibekalkan oleh syarikat yang berada di kawasan ditetapkan iaitu Labuan, Langkawi dan Tioman kepada pelanggan di Malaysia, mulai 1 Januari 2018.

Keenam, pelepasan GST juga diberi ke atas pengimportan barangan bernilai tinggi (big ticket items), seperti kapal terbang dan kapal laut, oleh syarikat penerbangan dan perkapalan yang berdaftar di Malaysia.

Pelepasan GST turut diberikan kepada syarikat di dalam industri minyak dan gas yang mengimport pelantar minyak atau struktur terapung dan langkah berkenaan bermula 1 Januari 2018.

Ketujuh, perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan kediaman berstrata yang dibekalkan oleh Badan Pengurusan Bersama dan perbadanan pengurusan yang kini tidak dikenakan GST, diperluas untuk meliputi perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan yang dibekalkan oleh pemaju perumahan, mulai 1 Januari 2018.

Berita Harian X