Ahad, 22 Oktober 2017 | 6:06pm
ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bergambar bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim (tiga kiri); Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said (tiga kanan); Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan (dua kiri); Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah (kanan); Pengarah Cybersecurity Malaysia, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed (kiri) dan anel penasihat PERMATA, Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabudin pada majlis perasmian Seminar #Cybersafe: Memelihara Keselamatan Wanita dan Kanak-kanak di alam siber, di Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Salhani Ibrahim

Remaja, kanak-kanak ketagihan internet serius

KUALA LUMPUR: Kajian Statistik Internet Dunia (Internet World Stats) mendedahkan hampir 78.8 peratus pengguna internet di negara ini, terutama kanak-kanak mengalami ketagihan serius.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata ketagihan membimbangkan adalah membabitkan kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun kerana mereka dibiarkan bermain gajet elektronik seperti i-Pad dan telefon bimbit sebagai pengganti ibu bapa atau pengasuh.

Beliau yang juga Penaung PERMATA berkata, Kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber dijalankan CyberSecurity dan Kementerian Pendidikan pada 2016 turut mendedahkan, 45 peratus kanak-kanak berusia tujuh hingga sembilan tahun di negara ini sudah mahir menggunakan internet.

Katanya, kajian turut mendapati hampir 92.5 peratus kanak-kanak dan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun hari ini, adalah pengguna internet tegar.

"Kajian mendedahkan kanak-kanak menggunakan internet untuk tempoh satu hingga empat jam setiap hari.

"Mereka juga berdepan tiga ancaman siber iaitu buli siber, pengaruh media sosial dan jenayah siber.

"Justeru, ketagihan internet kanak-kanak di negara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ketagihan boleh mendominasi kehidupan mereka, merosakkan pergaulan sosial, menggugat fikiran, pembelajaran serta mengganggu emosi.

"Ketagihan internet berisiko menjejaskan hubungan kekeluargaan dan mengurangkan penyertaan kanak-kanak ini dalam bidang sukan dan rekreasi," katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan Seminar #Cybersafe: Memelihara Keselamatan Wanita dan Kanak-kanak di alam siber, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan.

Selain itu, turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, Pengarah Cybersecurity Malaysia, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed dan panel penasihat PERMATA, Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabudin.

Mengulas lanjut, Rosmah berkata ketagihan internet menyebabkan impak psiko-sosial termasuk ketandusan hubungan kekeluargaan, kurangnya pemupukan nilai murni dan 'role modelling' bagi mendidik sikap bertanggungjawab serta pencinta kedamaian generasi akan datang.

Katanya, ketagihan juga membuang masa pengguna internet sekali gus, menurunkan produktiviti harian.

"Penggunaan internet berlebihan adalah masalah inter-generasi yang boleh meningkatkan risiko anak-anak menjadi mangsa dan pemangsa jenayah siber.

"Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mengawasi perkara yang ditonton, didengar dan dibaca anak-anak mereka dalam internet," katanya.

Sementara itu, Rosmah turut menjelaskan, beliau secara peribadi tidak mempunyai sebarang akaun laman sosial dan meminta orang ramai agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat yang dipetik daripada akaun palsu.

"Ternyata niat jahat penyebar adalah untuk mewujudkan konflik antara pelbagai pihak dan saya juga tidak terlepas menjadi mangsa berita palsu (fake news)," katanya.

Rosmah berkata beliau mahu pihak bertanggungjawab seperti Agensi Keselamatan Siber Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meneliti semula perundangan untuk menyesuaikan undang-undang, dasar, peraturan serta penguatkuasaan supaya relevan dengan perkembangan semasa.

Berita Harian X